Ustaz jadi taruhan PH di Marang
KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu akan menampilkan seorang individu bergelar ustaz sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Marang iaitu kawasan dikenali sebagai kubu kuat Pas.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, calon tersebut bakal memberi pilihan baharu kepada pengundi di kerusi tradisi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tanpa mendedahkan identiti individu berkenaan, beliau turut memberi keyakinan bahawa calon PH berusia dalam lingkungan 40-an itu boleh memberi impak terhadap undi parti lawan sama ada BN mahupun Pas.
“Calon ini boleh membuka mata rakyat bahawa pendekatan seorang ustaz tidak semestinya melalui ceramah berapi-api dengan membakar sentimen negatif, Insya-ALLAH pengundi akan ada pilihan,” katanya di sini pada Selasa.
Menurut Raja Kamarul Bahrin, PH juga mempertaruhkan seorang tokoh korporat sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kuala Nerus yang sebelum ini dimenangi Pas sebagai tawaran kepada pengundi kawasan tersebut.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu itu turut mengesahkan bakal bertanding pada PRU15 namun tidak menyebut kerusi Parlimen mana beliau akan ditempatkan, bergantung kepada keputusan pimpinan parti.
“Apa yang pasti, kita (PH Terengganu) akan bertanding di semua lapan Parlimen di negeri Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Nerus.
“Namun siapa calonnya dan kerusi mana mereka ditempatkan akan diumumkan selepas Konvensyen PH di Perak selesai nanti.
“Latar belakang calon-calon kita pula adalah seimbang, ada tokoh agama, korporat dan juga profesional dan semua mereka melalui proses tapisan serta saringan yang ketat oleh parti,” katanya.
Pada PRU-14, kerusi Parlimen Marang dimenangi Abdul Hadi selepas mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi dengan majoriti undi sebanyak 21,954.
Calon PH dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zawawi Sulong pula hilang deposit.
Abdul Hadi telah memenangi kerusi Parlimen Marang selama enam penggal sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai kubu kuat Pas yang sukar untuk ditembusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!