Lebih RM51 juta perkasa murabbi ummah di Selangor

Idris (dua dari kiri) dan Amirudin (tiga dari kiri) ketika di program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.
Idris (dua dari kiri) dan Amirudin (tiga dari kiri) ketika di program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerima peruntukan sebanyak RM51.98 juta daripada kerajaan Persekutuan kepada golongan murabbi ummah di negeri tersebut pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, peruntukan tersebut meliputi sejumlah RM12.05 juta bagi imam, bilal, siak, guru takmir di Selangor

Menurutnya, bantuan berkenaan berbentuk bayaran sekali bayar, caruman Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan imbuhan tambahan kepada 5,834 penerima.

Idris menambah, sebanyak RM1.4 juta bayaran bantuan khas kepada 2,800 orang guru KAFA di Selangor sebagai penghargaan terhadap kumpulan berkenaan mendidik anak bangsa.

"Jumlah peruntukan elaun guru KAFA bagi Selangor pada tahun ini adalah sebanyak RM38,527,440 yang melibatkan seramai 2,800 orang,"

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.

Dalam pada itu, Idris berkata, pihaknya melalui agensi Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut meluluskan peruntukan bantuan sebanyak RM785,000 kepada Selangor bagi membina dan membaik pulih 33 buah masjid serta 91 surau di lapan daerah dalam Selangor yang terkesan akibat musibah banjir.

"Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kos yang ditanggung dan proses membina dan baik pulih masjid serta surau ini akan dilaksanakan dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperuntukkan sebanyak RM279 juta dalam bajet pengurusan tahunan dan RM79 juta bagi bajet pembangunan tahun ini.

Katanya, dari perbelanjaan tahunan tersebut, kerajaan memperuntukkan berjumlah RM68 juta bagi menampung elaun lantikan 2,800 guru KAFA lantikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan 4,200 lantikan negeri.

"Kerajaan Selangor juga berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana turut berkongsi peruntukan bagi membiayai sebahagian elaun guru KAFA berkenaan dengan peruntukan berjumlah RM28 juta setahun.

"Ini tidak termasuk peruntukan lain yang diberikan oleh LZS bagi kos pembelian perabot dan sumbangan penyelenggaraan kecil sekolah.

"Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Idris yang terus menjunjung prinsip federalisme dengan menyalurkan bantuan persekutuan kepada Selangor berjumlah RM51 juta termasuk sumbangan khas 'one off' yang disalurkan," jelas beliau.