Murid patah jari, kipas siling bilik darjah terjatuh

Perkongsian Mohd berhubung keadaan tulang jari kiri tangan anaknya yang patah dan terpaksa disimen akibat terkena kipas uzur yang terjatuh dari siling bilik darjah pada Selasa.
Perkongsian Mohd berhubung keadaan tulang jari kiri tangan anaknya yang patah dan terpaksa disimen akibat terkena kipas uzur yang terjatuh dari siling bilik darjah pada Selasa.
A
A
A

LARUT - Seorang murid perempuan Tahun 2 sebuah sekolah di Selama dekat sini patah jari tangan selepas terkena kipas yang terjatuh dari siling bilik darjah dalam satu kejadian pada Selasa.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi itu turut mengakibatkan tiga murid perempuan yang lain kesemuanya berusia 8 tahun cedera ringan.

Bapa kepada pelajar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata, selain patah jari, anaknya juga mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian dada akibat terkena kipas terbabit.

"Secara kebetulan, meja anak saya betul-betul di bawah kipas itu, jadi kecederaan dialaminya agak serius berbanding yang lain.

"Apabila dibawa mendapatkan rawatan ke hospital, doktor maklumkan tulang jari kiri tangan anak saya telah patah dan terpaksa disimen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Kakitangan awam itu berkata, anaknya telah diberikan cuti sakit selama 14 hari dan kini masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Dia dan isteri agak terkilan, apabila pihak sekolah tidak menyegerakan rawatan anaknya dan mangsa lain, sebaliknya menunggu ibu bapa hadir membawa sendiri anak ke hospital.

"Kes sebegini sepatutnya boleh dikira kecemasan tetapi pihak pengurusan sekolah memberi alasan mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika isteri saya tiba di sekolah, tangan anak saya ketika itu sudah bertukar warna dan sepatutnya perlukan rawatan segera tetapi mereka masih lagi memintanya mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan sebagainya.

"Saya terima kemalangan ini berlaku kerana ia bukanlah disengajakan, cuma terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain," jelasnya.

(Kiri) Keadaan kipas siling yang dikatakan sudah uzur dan berkarat hingga jatuh serta mencederakan empat murid Tahun 2. Lokasi kejadian kipas terjatuh dari siling bilik darjah pada Selasa menyebabkan empat murid Tahun 2 cedera dengan seorang daripadanya patah jari tangan.
(Kiri) Keadaan kipas siling yang dikatakan sudah uzur dan berkarat hingga jatuh serta mencederakan empat murid Tahun 2. Lokasi kejadian kipas terjatuh dari siling bilik darjah pada Selasa menyebabkan empat murid Tahun 2 cedera dengan seorang daripadanya patah jari tangan.

Mohd yang melihat sendiri keadaan bilik darjah itu mendapati, kipas terbabit telah pun uzur, berkarat dan sepatutnya tidak selamat untuk digunakan.

Katanya, penggunaan peralatan dan kemudahan yang uzur seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan isu keselamatan murid dan guru.

"Sekiranya perkara ini tidak mendapat perhatian sewajarnya, tidak mustahil kejadian sama boleh berlaku lagi," katanya.

Satu laporan polis telah dibuat Mohd berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada petang Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!