Jalan Raja ditutup sempena Fiesta Mega Penjaja 2022
KUALA LUMPUR - Jalan Raja di sini akan ditutup sempena Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil 2022 bermula Rabu hingga Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, jalan terbabit akan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 10 malam pada Rabu hingga 4 pagi Sabtu.
"Penutupan Jalan Raja bermula dari persimpangan Jalan Tun Perak/Jalan Tuanku Abdul Rahman sehingga ke persimpangan Jalan Raja/Jalan Leboh Pasar Besar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Noor Dellhan berkata, pengguna jalan raya dari arah Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Jalan Kinabalu boleh melalui bulatan Dato Onn untuk ke Jalan Kinabalu.
"Pengguna jalan raya dari Jalan Sultan Hishamuddin boleh melalui Jalan Leboh Pasar Besar untuk ke Jalan Tun Perak dan seterusnya ke Jalan Raja Laut," katanya.
Beliau berkata, semua pengunjung ke fiesta terbabit dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan sekitar Dataran Merdeka sehingga boleh menyebabkan gangguan kepada lalu lintas.
"Orang ramai juga diminta untuk mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas di lokasi bagi memastikan kelancaran aliran trafik semasa program ini berlangsung," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!