UMNO jangan terlalu teruja hadapi PRU15: Siti Aishah
SHAH ALAM - UMNO diingatkan agar tidak terlalu teruja untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi apatah lagi dengan bersandarkan kemenangan yang mereka peroleh ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail berkata, kemenangan UMNO dalam dua PRN itu hakikatnya tidak melambangkan sokongan keseluruhan rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, ramai dalam kalangan rakyat tidak keluar mengundi ketika itu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“UMNO jangan rasa terlalu gah kerana populariti undi UMNO cuma naik satu peratus sahaja.
"Maksudnya UMNO sangat sedar bahawa ramai yang tidak keluar mengundi dan yang turun untuk mengundi hanyalah daripada kalangan penyokong-penyokong tegar parti politik bertanding pada ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar Edisi ke-370 bertajuk 'Demi Rakyat atau Kuasa' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari.
Sementara itu, Siti Aishah menegaskan, seluruh komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bersetuju mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.
“Saya yakin ia disambut baik oleh rakyat di peringkat bawah,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!