Selepas Diaz, kini giliran Jota tidak ke Qatar 2022
HASRAT penyerang Liverpool, Diogo Jota untuk menyarung jersi Portugal pada Piala Dunia Qatar 2022 tidak kesampaian apabila mengalami kecederaan.
Menurut pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan betis pada minit akhir perlawanan ketika The Reds menjinakkan penyandang juara Manchester City, 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, Ahad lalu.
“Benar-benar bukan berita baik, ya dia akan terlepas Piala Dunia. Kecederaan yang agak serius pada otot betis. Itu sahaja.
"Selebihnya kini akan menyusul dalam beberapa hari akan datang. Berita yang sangat menyedihkan untuk Jota, untuk kami juga untuk Portugal... Saya tidak mahu meletakkan masa untuknya kembali pulih, dia memerlukan masa,” kata Klopp sambil menambah Jota tidak memerlukan pembedahan.
Jota, yang telah menjaringkan 10 gol dalam 29 penampilan untuk Portugal, hanya kembali cergas sepenuhnya selepas terlepas beberapa minggu pembukaan musim ini kerana masalah hamstring.
Untuk rekod, dia menjadi pemain Liverpool kedua terlepas Qatar 2022 selepas pemain Colombia, Luis Diaz diketepikan kerana kecederaan lutut.
Ditanya bagaimana Jota menerima berita itu, Klopp berkata: “Dia secara mengejutkan okey setakat ini, seorang pemain yang bijak apabila berdepan situasi sebegini.”
Liverpool bakal melayan kunjungan West Ham United dalam perlawanan liga di Anfield, awal pagi Khamis.
LIGA PERDANA INGGERIS
KHAMIS (20 OKTOBER)
Bournemouth lwn Southampton, 2.30 pagi
Liverpool lwn West Ham Utd, 2.30 pagi
Brentford lwn Chelsea, 2.30 pagi
Newcastle Utd lwn Everton, 2.30 pagi
Manchester United lwn Tottenham Hotspur, 3.15 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!