Aidil beralih arah ke Penang FC?
ADAKAH Penang FC menjadi destinasi seterusnya buat bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak selepas disahkan tidak lagi bersama skuad Kenari dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 pada Isnin.
Khabar angin itu timbul selepas satu gambar dikongsi di media sosial para penyokong Harimau Kumbang menyaksikan kelibat jurulatih kelahiran Singapura yang empat musim berjasa bersama Hijau Kuning tersebut ke Pejabat Ketua Menteri dan Exco Pulau Pinang.
Kemungkinan Aidil bakal menjadi teraju baharu Penang FC bukan satu perkara mustahil, apatah lagi kelab Liga Super itu sudah ‘merehatkan’ pengendali, Datuk Zainal Abidin Hassan digantikan pengendali sementara, Manzoor Azwira bagi mengharungi baki saingan Liga-M 2022.
Jika situasi itu benar, kehadiran Aidil pasti ditagih pengurusan Penang FC selepas skuad Haria Penang Haria tersebut berdepan prestasi hambar sepanjang musim 2022.
Skuad Harimau Kumbang yang bertukar jurulatih sebanyak dua kali musim ini menamatkan saingan di tangga tercorot selepas hanya mengutip dua kemenangan daripada 22 perlawanan.
Untuk rekod, Penang FC dijadual berdepan kelab Liga Premier, Kuching City FC pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia yang menyingkap tirai minggu depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!