'Apa pun keputusan, terima saja dengan terbuka'

Khairul Firdaus ketika ditemui pemberita selepas hadir menandatangani MoU antara Sabah FC dan Konsortium Ejen Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.
Khairul Firdaus ketika ditemui pemberita selepas hadir menandatangani MoU antara Sabah FC dan Konsortium Ejen Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan terbuka dengan apa sahaja keputusan kepimpinan parti berhubung pemilihan calon bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Beliau mengakui musim pilihan raya umum (PRU) telah tiba dan sudah tentu ramai yang ingin menawarkan diri menjadi calon tidak kira dari parti mana sekalipun.

"Saya mewakili parti Bersatu dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor), setiap keputusan yang dilakukan ataupun telah diputuskan olehnya kita terima saja dengan hati yang terbuka.

"Pasti setiap keputusan yang mahu dilakukan oleh beliau juga sudah mengambil kira semua faktor, semua aspek tetapi apa yang paling penting seperti yang saya tekankan tadi, keputusan yang kita bakal lakukan ataupun kita mahu lakukan mesti membawa kebaikan kepada Sabah, " katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sabah FC dan Konsortium Ejen Pelancongan Sabah di sini, pada Selasa.

Khairul Firdaus berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas nama beliau antara yang disebut-sebut bakal dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember 2020.

Bagaimanapun, ditanya sekali lagi adakah beliau bersedia jika nama dicalonkan untuk kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairul Firdaus enggan mengulas lanjut.

"Dalam politik ini, tiada yang jika. Saya tak boleh jawab. Kalau ada arahan dan sudah ada hitam putih, baru kita keluarkan sebarang komen," ujarnya.

Sebelum itu, kerusi Batu Sapi kosong berikutan penyandangnya Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

PRK Batu Sapi sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2020, namun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat terhadap Parlimen itu bagi mengelak PRK diadakan sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Pada 7 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!