Potong bekalan elektrik enam premis judi
KUANTAN - Enam premis perniagaan di sekitar Kuantan dipotong bekalan elektrik selepas dipercayai menjalankan kegiatan loteri awam secara haram dan perjudian secara dalam talian.
Kesemua premis yang dikenal pasti itu berselindung di sebalik perniagaan sah seperti menjalankan perniagaan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemotongan bekalan elektrik itu dibuat di beberapa lokasi di Beserah dan sekitar Bandaraya Kuantan oleh pihak polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Tindakan ini dilakukan di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit supaya ia tidak kembali beroperasi.
"Kita menahan tujuh individu yang merupakan pekerja di premis perjudian itu yang berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun. Kesemua individu yang ditahan berasal dari daerah ini.
"Turut dirampas dua komputer riba, telefon bimbit, tablet, pen, router, modem, dan 14 keping wang pelbagai kombinasi yang dianggarkan berjumlah RM7,713 dalam serbuan yang dilakukan," katanya pada Rabu.
Wan Mohd Zahari menjelaskan mereka yang ditahan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 4(1) (c) ARJT 1953.
"Sejak Januari lalu sehingga September lalu, sebanyak 122 serbuan terhadap premis yang dikenalpasti menjalankan kegiatan perjudian," ujarnya.
Beliau berkata, anggaran nilai jualan sehari bagi judi loteri awam tanpa lesen adalah dianggarkan sebanyak RM200 hingga RM500 manakala perjudian secara atas talian pula antara RM1,000 hingga RM3,000 sehari.
"Golongan sasaran adalah penduduk setempat dan warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!