KPDNHEP rampas 600 android box bernilai lebih RM400,000
PUTRAJAYA - Sebanyak 600 unit alat teknologi penstriman (android box) pelbagai jenama berserta dokumen berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta dengan nilai RM404,500 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, rampasan itu dibuat dalam serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Jalan Mutiara, Skudai, Johor yang menjual alat teknologi android box, Sabtu lalu.
Menerusi kenyataannya pada Rabu, Azman berkata, risikan awal telah dilakukan bahagian itu beberapa hari sebelum tindakan diambil.
"Serbuan yang bermula jam 1 tengah hari itu dengan kekuatan empat anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya turut menahan seorang wanita warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit," katanya.
Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 kerana disyaki melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.
"Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini yang mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya tanpa kebenaran," katanya.
Tegas Azman, tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan dilakukan kementerian bagi membanteras alat teknologi tersebut.
"Ini kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!