Toyota Veloz dengan harga bermula RM95,000 seunit
SHAH ALAM - UMW Toyota Motor melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover Toyota Veloz ke pasaran Malaysia dengan harga bermula RM95,000 seunit.
Lebih 6,000 unit SUV itu sudah ditempah orang ramai sejak tempahan dibuka pada Jun lalu.
Model pengganti Toyota Avanza itu ditawarkan dengan satu varian adalah model berstatus premium tujuh tempat duduk yang menawarkan keluasan dalaman kenderaan pelbagai guna (MPV) lebih besar untuk keselesaan keluarga.
Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran berkata, pelancaran Toyota Veloz amat dinanti-nantikan selepas populariti crossover premium melonjak menjadi antara model terlaris Toyota di rantau ini.
“Dengan kualiti binaan yang sangat baik, ciri-ciri canggih dan ruang dalaman yang luas, kami membayangkan keluarga merasai pengalaman menakjubkan setiap kali mereka melangkah masuk ke dalam kereta.
“Malah ia memberikan pengalaman pemanduan terbaik dengan penampilan premium luar dan dalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa,” katanya ketika melancarkan Toyota Veloz secara maya pada Selasa.
Tambahnya, memandangkan Toyota Veloz serba baharu disediakan untuk tempahan pada Jun, kadar tempahan adalah positif dan kami komited dan berusaha keras untuk memastikan penyerahan kepada pelanggan dalam tempoh dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum Mac tahun depan.
"Setakat ini, UMW Toyota Motor sudah merekodkan lebih 6,000 tempahan untuk Toyota Veloz menandakan minat yang semakin meningkat dalam rupa SUV crossover," katanya
Sementara itu tinjauan Sinar Harian di bilik pameran UMW Toyota Motor di Shah Alam mendapati, Toyota Veloz yang juga model pemasangan tempatan (CKD) menawarkan pemanduan lebih selesa dengan platform pacuan roda hadapan (FWD) dan suspense baharu untuk pengendalian lebih baik di laluan berliku dengan berbilang penumpang.
Difahamkan model serba baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L cekap (2NR-VE) dengan anjakan berurutan CVT 7-kelajuan yang menyediakan transmisi kuasa yang cekap untuk pecutan yang lancar dan berkuasa.
Prestasi pemanduan Toyota Veloz menjadikan setiap perjalanan satu perjalanan yang mudah dan menggembirakan sambil membawa kegembiraan dengan kecekapan bahan api yang sangat baik.
Meningkatkan lagi pengalaman adalah tiga mod pemanduan iaitu ECO, Normal dan Power yang boleh disesuaikan dengan kehendak pemandu.
Menjengah ke dalam kabin, Toyota Veloz hadir dengan pad pengecas tanpa wayar 'Qi', skrin sesentuh paparan audio sembilan inci baharu yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sekali gus meningkatkan pengalaman pemanduan.
Dari aspek luaran pula, Toyota Veloz didatangkan dengan rim aloi 17 inci, lampu depan LED dengan ciri Follow Me Home dan lampu nyalaan siang.
Toyota Veloz serba baharu boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu silver metallic (metalik kelabu) dengan bumbung hitam, blue metallic (metalik biru) dengan bumbung hitam, White (putih), metallic blueish black (metalik hitam kebiruan) dan red metallic (metalik merah).
Model SUV crossover itu hadir dengan teknologi keselamatan Toyota Safety Sense termaju yang merangkumi antara lain Sistem Pra-Bertembung (PCS), Amaran Berlepas Lorong (LDW), Pencegahan Pelepasan Lorong dan Kawalan Pengekalan Lorong (LKC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!