Pesakit mental sempat selamatkan diri dalam kebakaran
TANJONG KARANG - Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental sempat menyelamatkan diri selepas rumahnya di Batu 7 di sini, musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 47 tahun dipercayai bersendirian di rumah tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 malam.
"Sepasukan 14 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan Sungai Besar dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Norazam, sejurus tiba di lokasi mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.
"Kebakaran yang melibatkan 90 peratus kemusnahan itu bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit," katanya.
Jelas Norazam, ketika kejadian abang mangsa yang berusia 49 tahun dipercayai tiada di rumah tersebut.
"Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur dan disedari jiran berdekatan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 10.15 malam.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!