UMNO sedia gempur kerusi pembangkang di Kuantan, DUN Teruntum

Nara Nikman
Nara Nikman
A
A
A

KUANTAN - UMNO Kuantan yakin BN mampu merampas kerusi Parlimen Kuantan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nikman Nordin berkata, bagi mencapai matlamat itu pastinya gerak kerja telah diatur dan sudah dimulakan sebelum pembubaran Parlimen dan DUN diumumkan.

"Tidak kira siapa calon atau daripada parti komponen mana dari BN, yang pasti kita mahu memastikan kemenangan pada calon BN pada pilihan raya kali ini.

"Jadi, soal siapa calon atau daripada (parti) mana, kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan di peringkat bahagian, negeri dan pusat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau menjelaskan, tugas utama jentera adalah memastikan kerusi Parlimen Kuantan dan DUN Teruntum dapat dirampas semula selepas dimenangi pembangkang sejak tiga penggal lalu.

"Kita yakin ada peluang memandangkan semua jentera UMNO Kuantan sudah melakukan kerja di lapangan sebaik PRU14 berakhir.

"Kini kita akan menggandakan usaha bagi memastikan rakyat dapat memilih calon BN untuk mewakili suara mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut Nara berkata, cabaran UMNO Kuantan bagi memastikan kemenangan di dua kerusi itu adalah untuk memujuk pengundi muda.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, difahamkan lebih 20,000 pengundi muda di Parlimen Kuantan yang perlu ditawan untuk mereka yakin dengan calon BN.

"Jadi kita akan beri tumpuan lebih kepada pengundi muda dan memberi kesedaran kepada mereka yang kali pertama mengundi supaya mereka membuat keputusan (pilihan) tepat,” jelas beliau lagi.

Kerusi Parlimen Kuantan kini disandang Fuziah Salleh, manakala DUN Teruntum pula disandang Sim Chon Siang, kedua-duanya daripada PKR sejak 2008.

Pada PRU14, Fuziah meraih 22,807 undi mengalahkan calon Pas, Sulaiman Md Derus(14,696 undi) dan calon BN, Datuk Wong Kean Hwee (13,667 undi).

Bagi DUN Teruntum pula, Chon Siang menang dengan majoriti 7,725 undi mengalahkan calon BN, Tee Choon Ser@ Misty (4,502 undi) dan Pas, Azizah Mohd Ali dengan 3,039 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!