Biden peruntuk 15 juta tong minyak dari rizab AS

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Joe Biden akan mengeluarkan 15 juta tong minyak daripada Rizab Petroleum Strategik Amerika Syarikat (AS) dan penghantaran dijangka dilakukan pada Disember, menurut kenyataan Rumah Putih pada Selasa.

"Jabatan Tenaga (DOE) mengeluarkan Notis Jualan 15 juta tong daripada Rizab Petroleum Strategik (SPR) keesokan hari dan penghantaran akan dibuat pada Disember.

"Jualan ini akan melengkapkan pengeluaran bersejarah 180 juta tong yang diumumkan Presiden pada musim bunga,” menurut kenyataan itu.

AS bercadang membeli semula minyak mentah untuk menjamin bekalan SPR apabila harga berada pada atau di bawah julat AS$67-AS$72 setong.

Minyak mentah kini berada pada harga AS$83 setong, menurut penanda aras West Texas Intermediate.

Pengumuman Biden itu dibuat selepas permintaan AS untuk menangguhkan keputusan OPEC+ bagi mengurangkan pengeluaran minyak di tengah-tengah permintaan global yang merosot, tidak diendahkan.

Pentadbiran Biden juga meminta syarikat tenaga AS mengorbankan sebahagian keuntungan mereka dengan menurunkan harga runcit petrol di AS.

AS mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk mengisi semula SPR ke tahap sebelumnya, tetapi Presiden Joe Biden bersedia membenarkan pelepasan minyak tambahan daripada rizab ke pasaran global untuk beberapa bulan akan datang jika perlu.

Artikel Berkaitan:

Pentadbiran Biden tidak akan teragak-agak untuk menggunakan segala langkah yang boleh digunakan untuk meningkatkan bekalan tenaga global, menyokong tahap inventori domestik dan menurunkan harga di negara itu, menurut kenyataan itu.

Terdahulu pada Oktober, kumpulan negara OPEC+ bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari bermula November dan mengambil tahap pengeluaran yang dipersetujui pada Ogos sebagai titik rujukan.

Langkah itu dibuat sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan dalam tinjauan pasaran minyak global, sebahagian besarnya disebabkan sekatan Barat ke atas produk tenaga Rusia dan rancangan G7 memperkenalkan had minyak mentah Rusia. Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!