Bukan masa sesuai bincang: teg Hag
PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag menegaskan para pemain perlu bersabar sebelum kelab memutuskan berkenaan status kontrak terutama dua tonggak, David de Gea dan Cristiano Ronaldo yang menghampiri penghujung.
Untuk rekod, sembilan pemain utama Red Devils United boleh meninggalkan Old Trafford secara percuma apabila kontrak tamat pada akhir musim, walaupun kelab mempunyai pilihan melanjutkan tempoh setahun lagi.
Marcus Rashford antara yang memasuki tahun terakhir, begitu juga dengan Luke Shaw, Fred, Diogo Dalot, Tom Heaton, Axel Tuanzebe dan Phil Jones, manakala Ronaldo dan De Gea pula antara dua pemain United berpendapatan tertinggi.
De Gea yang meraih 500 penampilan untuk United pada Ahad, meraikannya rekod bersih apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan berdepan Newcastle, memulakan setiap perlawanan musim ini walaupun terdapat keraguan pada awal sama ada dia sesuai dengan gaya permainan ten Hag.
Biarpun begitu, ten Hag menegaskan gembira dengan prestasi de Gea sebagai penjaga gol utamanya, namun tidak memberi jaminan pemain Sepanyol itu akan kekal di Old Trafford selepas akhir musim.
"Kami tidak membuat keputusan mengenainya tetapi apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat gembira dengan David de Gea sebagai penjaga gawang utama pasukan.
Sejujurnya, dua persembahan pertamanya musim ini bukanlah persembahan terbaiknya tetapi selepas anda lihat dia membawa banyak perubahan kepada benteng pertahanan, memberikan kestabilan di bahagian itu, saya benar-benar boleh bekerjasama bersamanya dengan baik.
"Bagaimanapun kita harus mengharungi kepadatan jadual pada musim sejuk terlebih dahulu, sebelum kita bercakap mengenai cara menangani situasi itu," kata ten Hag.
Ketika ditanya mengenai pemain lain yang berada pada tahun terakhir masing-masing, ten Hag berkata: “Pada masa ini kami hanya memikirkan mengenai persembahan setiap pemain semasa di padang.
“Sebenarnya, kami mempunyai banyak perlawanan untuk diharungi jadi saya tidak mahu perkara itu diganggu topik perbincangan seperti ini, kami perlu fokus pada bola sepak dan persembahan, bukan pada rundingan kontrak. Itulah yang perlu kita lakukan pada ketika ini.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!