Lelaki ditahan cuba sogok polis RM90,000
JOHOR BAHRU - Cubaan seorang lelaki menyogok polis dengan wang tunai RM90,000 supaya melepaskan rakannya selepas terlibat sindiket tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud memakan diri apabila ditahan pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek lelaki tempatan yang berusia 31 tahun itu menawarkan wang tersebut sebagai suapan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap rakannya.
Menurutnya, pihak polis telah memberi amaran untuk tidak berbuat demikian, namun suspek terus mendesak untuk menerima wang tersebut.
"Tangkapan dibuat dan wang tunai tersebut yang cuba diserahkan kepada polis turut dirampas.
"Kejadian ini berlaku di Taman Suria di sini dalam satu pertemuan antara suspek dan anggota polis terbabit.
"Kes ini dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, suspek berbuat demikian selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan di sebuah apartment di Jalan Tanjung Puteri di sini jam 12 tengah hari Isnin.
Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan kerana apartment itu dijadikan sebagai pusat panggilan menawarkan kerja dalam talian yang tidak wujud.
"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dan merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk berhubung dan memperdayakan mangsa.
"Semasa proses awal siasatan dijalankan, pasukan serbuan telah menerima panggilan daripada suspek yang mengaku rakan kepada warga asing itu dan mahu berjumpa pihak polis terbabit di Taman Suria.
"Suspek kemudian menawarkan wang berkenaan sebelum diberkas kerana cuba merasuah pihak polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!