'Penganjur arah isteri saya duduk atas pentas'

ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman
ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman
A
A
A

SABAK BERNAM - ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman tampil memberi penjelasan berhubung tindakannya membawa anak, isteri duduk di atas pentas dalam program rasmi sebuah sekolah baru-baru ini yang dianggap tidak menghormati protokol.

Ahmad Mustain berkata, pihak penganjur telah mengarahkan isterinya berada di tempat duduk atas pentas bersama dua lagi tetamu undangan lain.

"Saya turut membawa anak yang berusia 5 tahun yang ketika itu duduk di kerusi bawah bersama tetamu lain, namun apabila dia menangis lalu guru bertugas membawanya naik ke pentas," katanya.

Ahmad Mustain berkata, tindakan itu tidak menyalahi undang-undang jauh sekali menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

"Perkara ini amat remeh dan bukan satu perkara besar yang perlu diambil perhatian semua pihak," katanya.

Beliau berkata, menjadi kebiasaan pada hujung minggu, jadualnya dipenuhi dengan undangan kenduri dan majlis perkahwinan.

"Mengikut jadual pada hari itu, saya tidak menghadiri mana-mana program rasmi, namun pihak penganjur menghubungi saya minta hadir merasmikan majlis penutupan.

"Atas rasa tanggungjawab saya sebagai ADUN dan sebagai bekas pendidik, saya hadir juga ke majlis berkenaan walaupun perancangannya saya ingin ke Putrajaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan, tindakan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman yang membawa isteri dan anaknya di tempat duduk tetamu atas pentas dalam majlis rasmi sekolah telah dipertikai netizen dan dianggap tidak menghormati protokol.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan ADUN bawa anak, isteri atas pentas dipertikai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!