Usahawan wanita perlu kuasai ekonomi digital

airasia academy, Usanita jalin kerjasama beri latihan kemahiran kepada kumpulan B40

A
A
A

No Image Caption

KUALA LUMPUR – airasia academy memeterai usahasama dengan Usanita bagi memperkasakan golongan usahawan wanita terutamanya dari kumpulan B40, meneroka peluang dalam ekonomi digital dengan latihan kemahiran yang relevan seperti Pemasaran Digital, Analisis Data, Keselamatan Siber dan lain-lain bidang berkaitan teknologi digital.

Kolaborasi tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif program Teknologi Digital Usanita untuk menyediakan kursus latihan digital pada harga mampu milik kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara, khususnya usahawan wanita dari kumpulan B40.

Program itu bertujuan memperkasakan kumpulan sasaran tersebut menerusi program latihan semula dan peningkatan kemahiran teknologi moden dalam usaha membantu mendigitalkan perniagaan mereka agar kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia digital masa kini.

Presiden (Usahaniaga) Capital A & Ketua Pegawai Eksekutif airasia academy, Aireen Omar, berkata: pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Usanita yang telah meningkatkan kemahiran usahawan PKS baru sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebagai permulaan, dijangka seramai 2,000 hingga 3,000 usahawan wanita akan dilatih di bawah program yang menggabungkan pembelajaran atas permintaan (ODL) dan modul latihan yang dibina khusus bagi memenuhi keperluan mereka.

“Di samping itu, proses pembelajaran mereka akan turut dipantau menerusi sistem pengurusan pembelajaran (LMS) yang turut digunapakai institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan antarabangsa yang bekerjasama dengan airasia academy seperti Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof. Dato Seri Dr. Hassan berkata, biarpun era pendigitalan sudah mendominasi dunia, namun masih ada sebahagian daripada kita yang ‘menolak’ kemudahan ini kerana terlalu selesa dengan sistem konvensional.

Jelas beliau, Usanita Sdn Bhd memandang serius hal ini terutama dalam lapangan keusahawanan yang menjadi nadi baru ekosistem ekonomi negara di mana bangkitnya ramai pemain baru.

"Syarikat pemudah cara ini melihat era pendigitalan hari ini sebagai peluang besar untuk para usahawan meluaskan pasaran produk mereka.

“Kita berada di era pendigitalan yang meliputi setiap inci pengurusan kehidupan yang mempengaruhi gaya hidup kita termasuk cara bekerja, berkomunikasi, bergerak dan berbelanja. Sebab itu, suka atau tidak, pendigitalan ini sangat perlu untuk kita menjalani kehidupan seharian.”

“Sebagai contoh, Covid-19 antara lain mengajar manusia tentang perubahan dan anjakan paradigma pengurusan kehidupan yang lebih lestari dan saya melihat platform digital telah mengambil peranan bagi melancarkan lagi rutin harian manusia dengan sistematik," ujarnya.

Kata Adzliana, jadi di sini pentingnya juga para usahawan mengambil kesempatan menggunakan platform pendigitalan untuk menawan pasaran dengan lebih mudah, tepat dan pantas, sekali gus membentuk ekonomi digital.

No Image Caption

Bagaimanapun beliau sering menekankan pendigitalan dan ekonomi digital ini perlu pemahaman yang menyeluruh supaya usahawan-usahawan atau bakal peniaga mampu mengurus bisnes mereka dengan baik.

Salah satu daripadanya kata Datin Adzliana, para peniaga harus belajar dan menimba ilmu dalam pemasaran digital daripada mereka yang arif dan ahli dalam bidang masing-masing.

“Saya sering memberitahu para Usahawan Perintis Usanita kami supaya jangan berhenti belajar kerana pemasaran digital cepat berubah dan paling amat penting, praktikkan apa yang telah dipelajari. Jangan belajar tetapi tidak buat.

"Saya berharap agar Usanita dapat bekerjasama dengan lebih banyak lagi dengan syarikat seperti airasia academy.

"Selain itu kerjasama dengan kementerian dan badan korporat lain perlu diteruskan untuk membantu lebih ramai usahawan wanita di luar sana terutamanya di bidang teknologi pendigitalan," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!