Nas Daily guna pasport negara lain masuk ke Malaysia
SEREMBAN - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Israel Nas Daily memasuki Malaysia menggunakan pasport dari negara Saint Kitts and Nevis pada 16 Oktober lepas.
Beliau berkata, Nas Daily atau nama sebenarnya Nuseir Yassin mempunyai dua kerakyatan iaitu Israel dan Saint Kitts and Nevis, iaitu sebuah negara dari kepulauan Caribbean.
"Individu itu masuk dan keluar dari Malaysia menggunakan pasport yang sama (Saint Kitts and Nevis) dan difahamkan dia telah memasuki Singapura dengan menggunakan pasport Israel.
"Dia juga tidak mempunyai kesalahan di bawah peraturan Imigresen sebab kelulusan untuk masuk di bawah pas pelancong boleh diberikan semasa ketibaannya yang menggunakan pasport Saint Kitts and Nevis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program 3P (Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan) anjuran Jabatan Penjara Malaysia.
Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin.
Khairul Dzaimee mengulas isu video yang tular di aplikasi TikTok berkenaan warga Israel itu yang teruja dapat memasuki negara ini.
"Sebenarnya, dia tidak menggunakan pasport Israel. Jika menggunakan pasport berkenaan sama sekali tidak dapat melepasi pintu masuk negara kita kerana diketahui Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Sementara itu, dalam Program 3P hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, program tersebut dikhususkan kepada penghuni warga asing yang layak ditempatkan di PRP untuk bekerja.
Katanya, hasil diterima daripada pekerjaan tersebut akan digunakan bagi menampung keperluan harian warga asing terbabit dan seterusnya untuk penghantaran pulang ke negara asal.
"Program ini telah diadakan secara rintis bagi 16 penghuni warga Indonesia bermula pada Julai lepas. Penghuni warga asing yang kini berada di penjara adalah berjumlah hampir 12,000.
"Bagi penghuni warga asing tersebut, mereka akan peroleh kemahiran dan seterusnya pendapatan yang boleh membantu mereka untuk pulang ke negara asal dengan lebih cepat tanpa melalui penempatan di Depoh Tahanan Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, sinergi ini memberi impak positif kepada semua pihak, antaranya dapat mengurangkan kesesakan dalam penjara dan juga Depoh Tahanan Imigresen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!