Petanque sasar satu emas Sukan SEA Filipina

Petanque
Petanque
A
A
A

PERSEKUTUAN Petanque Malaysia (PPM) menyasarkan satu pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019, susulan keputusan tuan rumah yang hanya mempertandingkan empat acara berbanding tujuh pingat emas pada edisi lepas di Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden PPM, Wan Daud Wan Ismail berkata pihaknya akan memastikan atlet Malaysia berada pada prestasi terbaik untuk meraih lebih banyak pingat emas, selain mempertahankan pingat emas acara beregu lelaki yang diraih pada Sukan SEA 2017 setelah acara perseorangan tidak dipertandingkan di Filipina.

"Persediaan sama macam edisi lepas, cuma ada lebih penambahbaikan. Bagaimanapun, sasaran awal tidak boleh letak dua pingat emas kerana tuan rumah hanya tawarkan empat emas. Kita kena pertahankan apa yang dimenangi sebelum ini.

"Jika mengikut perbandingan berdasarkan prestasi terkini, peluang kita untuk raih lebih satu pingat emas nampak ada. Atlet muda kita pun prestasi mereka lebih kurang dengan juara dunia pada kejohanan sebelum ini," katanya pada sidang media Kejohanan Petanque Kebangsaan Piala PPM 2019 di sini, hari ini.

Kejohanan dijadual berlangsung pada 27 dan 28 April di Arena Petanque, Kompleks Sukan Tan Sri Datuk Dr Mohd Said, Seremban itu, menjadi medan bagi memilih atlet yang bakal mewakili negara pada Sukan SEA Filipina, Disember depan.

Beliau berkata 12 atlet akan dipilih, dan kesemua atlet yang pernah mewakili negara serta meraih pingat emas pada edisi lepas, turut diwajibkan menyertai sesi pemilihan tersebut.

"Objektif utama kejohanan ini untuk lahirkan lebih ramai atlet berkualiti sebagai persediaan ke Sukan SEA. Setiap atlet kebangsaan akan wakili negeri masing-masing dan sekiranya mahu wakili negara mereka kena menang. Senarai 12 calon itu akan diumumkan pada Jun ini," katanya.

Untuk rekod, Sukan SEA Filipina akan mempertandingkan empat acara petanque, melibatkan beregu wanita dan lelaki serta Triples lelaki dan wanita.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi lepas ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, skuad petanque negara meraih dua pingat emas menerusi Muhamad Hafizuddin Mat Daud dalam acara perseorangan lelaki serta gandingan Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri Syed Ali bagi acara beregu lelaki. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!