'Permohonan Najib tidak rasional kerana Parlimen dibubarkan'
KUALA LUMPUR - Peguam Kanan Persekutuan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya ke persidangan Dewan Rakyat tidak lagi rasional kerana bekas Perdana Menteri itu bukan lagi bertindak sebagai ahli Parlimen.
Shamsul Bolhassan berkata, ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketika berhujah dalam prosiding pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib terhadap tiga pihak di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Shamsul berkata, mahkamah perlu menolak permohonan berkenaan kerana ia tidak disokong oleh alasan yang relevan.
Menurutnya, dakwaan dan aduan yang menjadi asas dalam permohonan semakan kehakiman tidak boleh dikekalkan dan relif terhadap tiga responden kini bersifat akademik dan tidak lagi memberi kesan yang praktikal.
“Memandangkan Parlimen telah dibubarkan, ia menjadikan keseluruhan permohonan adalah akademik.
“Saya harap permohonan itu ditolak kerana Najib tidak lagi terikat untuk melaksanakan tugas-tugas keperlembagaannya,” katanya.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili penyandang kerusi Parlimen Pekan itu berhujah, Najib masih bergelar ahli politik.
Beliau berkata, Najib perlu melaksanakan tugas-tugas keperlembagaan sebagai wakil rakyat berdasarkan Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.
Malah katanya, Najib berpotensi untuk dinamakan sebagai calon pilihan raya dan sepatutnya diberikan hak untuk bertemu rakyat di Pekan, Pahang.
“Alasan responden-responden bahawa permohonan anak guam saya ditolak atas faktor keselamatan adalah tidak munasabah kerana bangunan Parlimen itu berada bawah kawalan kerajaan yang ketat,” katanya.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Kamal menetapkan 27 Oktober ini bagi keputusan permohonan Najib.
Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Pada 5 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin lalu.
Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!