Polis tahan pemandu Myvi lawan arus
KULAI - Pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melawan arus di Kilometer 31.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang videonya tular, sudah ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pemandu wanita berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Kangkar Pulai, Skudai.
"Pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah mengesan dan menahan wanita berkenaan pada jam 1 tengah hari.
"Polis merampas kereta Perodua Myvi berwarna putih untuk siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, pada Selasa tular satu video berdurasi 11 saat dimuat naik di laman Facebook memaparkan sebuah kereta Myvi dipandu melawan arus di Kilometer 31.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala Kulai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!