Alat pengesan sinaran Malaysia diguna di Piala Dunia Qatar
PIALA Dunia FIFA 2022 yang bakal berlangsung di Qatar akan menggunakan peralatan pengesanan sinaran yang dibangunkan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan sekuriti nuklear global semasa acara sukan bola sepak paling berprestij itu berlangsung.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan perkara itu merupakan antara yang dicapai menerusi Partnership Agreement on the Establishment of a Loaner Pool for Radiation Detection Equipment (Loaner Pool) yang telah ditandatangani oleh Jabatan Tenaga Atom bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 25 September 2020.
Kenyataan itu menyebut di bawah inisiatif Loaner Pool, Malaysia menerima penempatan dan menguruskan peralatan pengesanan sinaran bernilai RM3,078,634 yang boleh digunakan untuk aktiviti keselamatan dan sekuriti nuklear dalam negara.
"... termasuk untuk tujuan pembangunan keupayaan apabila peralatan tersebut tidak digunakan oleh mana-mana negara anggota IAEA serta untuk perkongsian amalan terbaik dengan pihak berkepentingan dalam negara dan antarabangsa.
"Tahun ini, peralatan yang diuruskan di bawah Loaner Pool Malaysia akan digunakan untuk Piala Dunia FIFA Qatar 2022,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOSTI, peralatan serupa juga digunakan sebelum ini dalam melaksanakan langkah sekuriti nuklear semasa acara awam besar di Malaysia seperti Sambutan Hari Kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Para ASEAN dan Sukan Malaysia.
Kenyataan itu turut memaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba pada 17 Oktober lepas telah mengadakan pertemuan dengan lapan pakar IAEA yang turut dihadiri wakil daripada Jabatan Tenaga Atom, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta Agensi Pengurusan Bencana Negara.
"Pakar luar jemputan IAEA dari Amerika Syarikat, Pakistan, Perancis, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam ini berada di Malaysia selama 10 hari dari 11 hingga 21 Oktober 2022 bagi menghadiri Misi Pakar Perkhidmatan Sekuriti Nuklear Antarabangsa (INSServ).
"INSServ bertujuan membantu Malaysia mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan dalam melaksanakan regim kawalan sekuriti nuklear secara berkesan dan lestari yang memfokus kepada kaedah pencegahan dan pengesanan kejadian sekuriti nuklear yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!