Usaha angkat semula ideologi komunisme perlu dicegah
SHAH ALAM - Sebarang usaha mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air perlu dicegah secara habis-habisan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ijtihad pemimpin terdahulu dalam menentang penjajah Barat dan komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya pada negara hendaklah diutamakan.
“Komunisme ialah fahaman sekular yang menolak kepercayaan kepada Tuhan.
“Mereka mengganas lebih melampau daripada penjajah yang beragama Kristian dan Yahudi,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Rabu.
Ulas beliau, komunis tidak membawa bala tentera seperti yang dilakukan oleh negara Barat sebaliknya mereka menjajah pemikiran rakyat tempatan untuk direkrut sebagai anggota mereka.
“Bahayanya lebih besar daripada bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih, kerana fahaman komunisme itu membunuh aqidah secara ekstrem.
“Ijtihad pemimpin kita terdahulu yang sama-sama menentang penjajah Barat, selepas itu menentang komunis pula adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan.
“Justeru, sebarang usaha untuk mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air kita sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh DAP sebelum ini hendaklah dicegah dan ditentang habis-habisan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!