Damok akui cuaca main peranan penting
PELUMBA negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali Damok mengharapkan keadaan cuaca memihak kepadanya ketika saingan Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.
Walaupun cuaca diramalkan hujan sepanjang tiga hari saingan pada 21 hingga 23 Oktober ini, pelumba berusia 21 tahun itu mengharapkan keadaan sebaliknya supaya dapat merealisasikan impian menaiki podium Moto3 buat kali pertama di hadapan penyokong tanah air.
Damok yang beraksi bersama Vision Track Racing Team atas tiket wildcard sudah pastinya mengetahui selok-belok Litar Sepang namun cuaca memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pada Ahad ini.
“Saya tahu di mana boleh memintas pelumba lain, tapi saya perlu melihat cuaca juga sebab sekarang kerap hujan dan di Sepang litarnya agak licin. Jadi, saya perlu berhati-hati dan persiapkan jentera yang terbaik.
“Saya suka panas kerana ada banyak kelebihan. Kalau hujan, boleh jatuh dan macam-macam perkara boleh terjadi, tetapi kalau kering jatuh pun sebab kesilapan sendiri. Jadi saya harapkan litar kering pada Ahad ini. Apapun saya kena fokus dan terus berjuang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menanam pokok bersama pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3 di Taman Tugu sempena saingan MotoGP 2022 yang kembali ke Litar Sepang selepas dua tahun dibatalkan kerana pandemik Covid-19.
Damok mengakui gementar untuk beraksi di hadapan peminat tempatan namun meletakkan harapan tinggi dapat mempamerkan prestasi terbaik pada sesi latihan bebas dan kelayakan bagi menjamin permulaan di barisan hadapan, sekali gus meraih keputusan membanggakan pada hari perlumbaan.
“Saya rasa keadaan semasa sedikit berubah selepas banyak aktiviti dijalankan di litar, jadi keadaan trek tidak sekata. Saya perlu persiapkan jentera pada tahap terbaik untuk perlumbaan minggu ini selain berharap peminat tempatan hadir memberi sokongan kepada semua pelumba negara,” katanya.
Kelibat Damok di GP Malaysia bakal menjadi penampilan kelimanya sebagai pelumba wildcard dalam kelas Moto3, selepas debut di GP Aragon pada musim lepas dengan kedudukan ke-13, kemudian meraih kedudukan ke-24 di GP Portugal (22 hingga 24 April), tempat ke-22 di GP Sepanyol (29 April hingga 1 Mei) dan tempat ke-19 di GP Catalunya (3 hingga 5 Jun) bagi musim ini.
Beliau yang beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan Dunia JuniorGP FIM menduduki tempat keempat daripada 29 pelumba dengan 110 mata selepas 10 perlumbaan setakat ini, berbaki dua perlumbaan di Valencia, Sepanyol.
Turut hadir pada majlis itu, pelumba pasukan MotoGP WithU Yamaha RNF Cal Crutchlow dan Darry Binder, Manuel Gonzalez dari pasukan Moto2 Yamaha VR46 Master Camp, Diogo Moreira dari pasukan Moto3 MT Helmets - MSI serta Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!