PAKAR sasar 10,000 pengunjung hadir Festival Selawat

Festival Selawat dan Majlis Tabarruk Artifak Rasulullah SAW yang akan berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 29 Oktober nanti. - FOTO: PAKAR
Festival Selawat dan Majlis Tabarruk Artifak Rasulullah SAW yang akan berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 29 Oktober nanti. - FOTO: PAKAR
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid (PAKAR) menyasarkan 10,000 pengunjung menghadiri Festival Selawat dan Majlis Tabarruk Artifak Rasulullah SAW yang akan berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 29 Oktober nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif PAKAR, Mohd Khairulnizam Abd Ghani berkata, sambutan bulan Maulidurrasul tahun ini sangat luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini di seluruh dunia khususnya di Malaysia.

“Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang sangat merindui majlis sebegini setelah Covid-19 melanda.

“Atas dasar itu, PAKAR mengambil inisiatif untuk mengimarahkan lagi Selangor dengan menganjurkan Festival Selawat yang akan berlangsung di SACC pada 29 Oktober 2022 bermula jam 8.00 pagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, penganjuran festival itu bertujuan agar lebih ramai umat mengenali Rasulullah SAW terutama dalam kalangan anak-anak muda.

“Selain itu, PAKAR juga membuka peluang untuk orang ramai bertabarruk dengan barang artifak Rasulullah SAW seperti rambut, janggut dan darah bekam.

“Masuk adalah percuma untuk kedua-dua majlis ini namun sesiapa yang ingin mendapat tempat di kawasan hadapan tanpa perlu beratur panjang maka boleh berdaftar dengan menghubungi 010-240 2885 atau layari www.pertubuhanarrasyid.com,” ujarnya.

Segala infak boleh disalurkan ke akaun Maybank 562469329650 atas nama Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!