PRU15: Tambah calon muda, kukuhkan PN
ALOR SETAR - Hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menambah calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan pendekatan yang positif dan bakal mengukuhkan lagi gagasan tersebut.
Exco Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ia kelak bakal membawa perubahan besar dalam kerajaan negeri mahupun Persekutuan sekiranya negara ini terus ditadbir oleh PN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah itu bagaimanapun berkata, gabungan calon muda dan berusia diperlukan bagi mengimbangi pentadbiran untuk kerajaan PN khususnya di Kedah kekal stabil.
"Lebih ramai pemimpin muda sewajarnya diketengahkan pada masa akan datang, ia amat diperlukan oleh negara berikutan pemikiran pemimpin muda lebih tangkas dan cergas dalam membuat keputusan.
"Kita bukan menafikan peranan dan pemikiran pemimpin lama atau berusia, namun selaku antara ADUN muda dan Exco paling muda dalam kerajaan negeri, pendekatan PN itu diyakini memberi pulangan baik, khususnya dalam menggilap bakat pemimpin masa depan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Firdaus yang juga ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, pendekatan PN itu yang akan dilaksanakan dalam PRU15 mampu menawan pengundi muda khususnya yang baru pertama kali mengundi.
"Sebab itu saya agak seronoklah bila Menteri Besar mengatakan kesediaan PN pada PRU ini untuk lebihkan orang-orang muda (sebagai calon).
"Inilah yang saya harapkan agar ramai pemimpin muda akan ditonjolkan selepas ini," kata Exco berusia 35 tahun ini yang turut diangkat memegang jawatan sama dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini iaitu Pakatan Harapan (PH).
Pada 13 Oktober, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PN Kedah mengumumkan gabungan itu akan membariskan lebih ramai calon daripada orang muda.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas pembahagian jumlah kerusi antara parti dalam PN negeri itu.
"Semua negeri akan serahkan senarai calon kepada PN Pusat pada 16 Oktober. Calon semua kacak, comel dan muda, muda daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, " kata Muhammad Sanusi.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus percaya pendekatan PN itu akan memberi manfaat kepada rakyat kerana kebanyakan orang muda memiliki idea bernas dan segar selain komited melaksanakan perancangan yang memberi kebaikan kepada golongan muda.
"Apa yang ada dalam kerajaan negeri PN Kedah bercampur antara pemimpin muda dan berusia. Kita tidak perlu ketepikan pemimpin lama kerana golongan ini menjadi rujukan dan panduan dalam kita membuat keputusan.
"Tak bolehlah semua muda sangat, perlu ada keseimbangan. Menteri Besar pun muda lagi, selain dibarisi tiga atau empat pemimpin muda antaranya Exco, Dr Robert Ling," ujarnya.
Menurutnya, keseimbangan kepimpinan ini membantu membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
"Saya yakin pada PRU15 ini, kerajaan negeri yang ada sekarang ini adalah kerajaan yang akan dipilih rakyat.
"Ia berdasarkan kepada pembawaan Menteri Besar (Muhammad Sanusi) selain prestasi kerajaan negeri yang menunjukkan sentiasa berusaha melonjakkan ekonomi rakyat dan sejahterakan negeri," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!