KKM bongkar klinik gigi haram di Melaka

Dua penguat kuasa KKM memeriksa peralatan yang digunakan oleh Klinik gigi haram itu.
Dua penguat kuasa KKM memeriksa peralatan yang digunakan oleh Klinik gigi haram itu.
A
A
A

MELAKA - Kegiatan seorang wanita yang mengusahakan klinik gigi haram sejak dua tahun lalu berjaya dibongkarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu operasi di sebuah premis di Pandan Malim, di sini, pada petang Rabu.

Serbuan jam 2 hingga 7 petang itu telah menahan wanita berusia 23 tahun bersama dua pekerjanya yang lain juga berusia 20-an dalam sebuah pusat kecantikan.

Ketua Operasi, Dr. Rosnah Atan berkata, berdasarkan pemeriksaan rekod daftar pelanggan, klinik gigi haram itu dipercayai beroperasi hampir dua tahun dan mengaburi kegiatan mereka dengan menyewa premis di tingkat dua bangunan kedai.

Menurutnya, hasil soal siasat wanita itu mengaku memberikan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi kepada orang ramai dengan hanya menggunakan pengalaman dipelajarinya selama tujuh hari di China.

"Mereka turut menjalankan beberapa perkhidmatan lain termasuk rawatan muka menggunakan mesin serta peralatan yang hanya boleh dikendalikan oleh doktor bertauliah,” katanya kepada pemberita.

Wanita berusia 23 tahun (kiri) sedang disoal siasat pegawai penguat kuasa KKM dalam serbuan di Pandan Malim di sini, petang Rabu.
Wanita berusia 23 tahun (kiri) sedang disoal siasat pegawai penguat kuasa KKM dalam serbuan di Pandan Malim di sini, petang Rabu.

Jelas beliau, klinik gigi haram itu menggunakan laman sosial Instagram untuk menarik pelanggan selain menawarkan pemasangan pendakap gigi pada harga sekitar RM1,200 sehingga RM1,500 bagi bahagian gigi atas dan bawah jauh lebih murah dari harga klinik berdaftar.

"Pelanggan yang berminat pula akan membuat janji temu terlebih dahulu di Instagram sebelum datang mendapatkan rawatan di premis itu," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kesemua barangan di dalam premis dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 62 dan Akta 804 Akta Pergigian 2018 iaitu larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804.

Sementara itu, wanita terbabit yang telah berkahwin berkata, dia sebenarnya tidak mengetahui bahawa perkhidmatan itu hanya boleh ditawarkan di klinik pergigian berdaftar setelah mendapatkan nasihat daripada pakar Ortodontik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!