Lebuhraya DASH catat kemalangan maut pertama
PETALING JAYA - Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH), di sini mencatatkan kemalangan maut pertama pada Khamis selepas dirasmikan minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan terbabit pada jam 12.05 tengah malam.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di Kilometer 15.7 Lebuhraya DASH dari arah Penchala menghala ke Denai Alam.
"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun menunggang motosikal jenis SYM VF3I disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam perjalanan pulang dari Bandar Sri Damansara di sini ke Puncak Perdana, Shah Alam bersama sembilan rakan.
Dalam pada itu, Fakhrudin berkata, ini kali kedua kemalangan dicatatkan di lebuh raya berkenaan, namun kejadian pertama tidak melibatkan kematian.
Katanya, siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.
"Saksi kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017 737 8704 bagi membantu siasatan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!