Anggota polis didakwa 24 tuduhan terima wang
KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini atas 24 tuduhan menerima imbuhan wang tunai tanpa balasan daripada seorang individu dengan jumlah keseluruhan RM4,800 antara 2016 hingga 2019 lalu.
Tertuduh, Rasip Majid, 53 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.
Berdasarkan kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain itu, tertuduh didakwa menerima RM200 bagi setiap transaksi (24 transaksi) daripada individu tersebut melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun banknya antara Disember 2016 hingga Oktober 2019.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut yang mana dia mengetahui individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar.
Dalam rayuan terhadap jaminan itu, tertuduh yang kini bertugas di IPD Merlimau, Melaka merayu agar jumlah itu dikurangkan.
Tertuduh memberi alasan terpaksa menyara keluarga termasuk ibu bapa dan anak yang masih bersekolah dengan pendapatan lebih RM6,000 sebulan.
Ahmad Zamzani bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 dengan beberapa syarat tambahan.
Tertuduh diperintahkan supaya melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula November depan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasportnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam bagi kes itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!