Keputusan luar biasa, berjiwa besar
BERUAS - Keputusan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menolak sebarang pencalonan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU15) disifatkan luar biasa dan berjiwa besar.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Azman Noh berkata, bukan sesuatu yang menjadi amalan bahawa pemimpin nombor satu di peringkat bahagian tidak mahu menjadi calon.
Menurutnya, tidak seperti UMNO bahagian lain yang mempunyai dua dan tiga kerusi, UMNO Bahagian Beruas hanya mempunyai satu kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu yang boleh ditandingi calon dari parti itu malah menjadi tradisi ketua UMNO bahagian bertanding di kerusi itu.
"Saya amat menyanjung tinggi hasrat yang diumumkan itu. Walaupun berat untuk UMNO bahagian menerima keputusan berkenaan namun kita menghormatinya. Tindakan ini wajar menjadi contoh kepada bahagian-bahagian lain.
"Beliau sanggup korbankan peluang untuk dicalonkan bertanding demi manfaat yang besar untuk penduduk di Beruas ini. Bukan itu sahaja, kami memimpin bahagian Beruas ini ketika BN tewas menjadi pembangkang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Khamis.
Menurutnya, sejak tujuh penggal yang lalu, hanya ketua UMNO bahagian bertanding di DUN Pengkalan Baharu dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi kali ini tradisi tersebut dipecahkan.
Dalam pada itu, Azman berkata, Azhar mempunyai hasrat yang lebih besar untuk membangunkan kawasan Parlimen Beruas kerana dianggap terpinggir walaupun berada di daerah Manjung.
Menurutnya, peranan di peringkat persekutuan sebagai Ahli Dewan Negara akan dimainkan sepenuhnya oleh Azhar untuk memastikan limpahan pembangunan dapat dinikmati oleh masyarakat di Parlimen Beruas.
Pada Rabu, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad mengumumkan menolak sebarang pencalonan untuk bertanding pada PRU15.
Keputusan mengejutkan itu dibuat bagi memberi peluang kepada muka baharu bertanding pada PRU kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!