Selangor kutip RM6.4 juta menerusi caj beg plastik

Loy Sian (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna Shah Alam sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-22 di Vista Alam, Seksyen 14 pada Khamis.
Loy Sian (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna Shah Alam sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-22 di Vista Alam, Seksyen 14 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM6.4 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik di Selangor pada tahun lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun pihaknya menjangkakan berlaku penurunan kutipan pada masa akan datang.

Menurutnya, jangkaan itu selaras dengan tujuan kempen berkenaan dilaksanakan iaitu bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan peniaga dan pengguna di negeri berkenaan.

"Statistik itu memang kita pantau dan memang kita jangka ada penurunan namun meningkat sedikit kerana ada premis baru mendaftar (dalam kempen) pada 2021 maka kutipannya meningkat.

"Jadi ini bukan kerana kutipan itu meningkat, sebenarnya ia akan menjejaskan kesedaran dan sepatutnya kutipan menurun, baru kita nampak tujuan kutipan itu dibuat," katanya kepada Sinar Harian.

Loy Sian ditemui pada Majlis Pelancaran Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna Shah Alam sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-22 di Vista Alam, Seksyen 14 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan; Ketua Projek CAP-SEA Asia Tenggara, Christoffer Brick dan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor melaksanakan Kempen Bebas Beg Plastik dan Polistirena bermula 1 Januari 2017 dan penguatkuasaan dilaksanakan setiap hari di premis perniagaan di seluruh negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaannya melibatkan beg plastik pakai buang yang tidak lagi dibekalkan kepada pengguna secara percuma, sebaliknya bayaran dikenakan bagi setiap beg plastik yang ingin digunakan.

Selaras dengan pelaksanaan kempen itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menambah syarat-syarat semasa permohonan lesen perniagaan yang mana beg plastik tidak lagi dibekalkan secara percuma, manakala penggunaan polistirena dilarang sama sekali.

Dalam pada itu, Loy Sian memaklumkan kutipan menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri itu akan digunakan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar.

"Kita akan laksanakan program kesedaran menerusi banyak program seperti menanam pokok, memasang panel solar dan laksana projek agroponik ke arah kelestarian alam sekitar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!