Suami ditahan tendang isteri minta cerai

PDRM
PDRM
A
A
A

AMPANG - Seorang jurujual tergamak menendang isterinya kerana berang wanita itu mengajak ke mahkamah syariah untuk memfailkan perceraian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita yang juga guru tadika berusia 30 tahun ke rumah ibu mentuanya di Taman Uda di sini pada jam 10.30 pagi untuk bertemu dengan suspek.

"Tujuan mangsa ke rumah mentuanya untuk mengajak suami ke mahkamah bagi tujuan perceraian.

"Suspek kemudian berang dan telah menendang paha dan pinggang mangsa sebanyak dua kali," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan disahkan mengalami kecederaan.

"Suspek berusia 29 tahun telah ditangkap pada 6.20 petang, hari yang sama," katanya.

Menurutnya, pasangan tersebut telah berkahwin sejak dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan.

"Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!