Cabaran anak autisme

No Image Caption
A
A
A
JIKA ditakdirkan anda dianugerahkan anak autisme, apa yang anda akan lakukan?

Sembunyikan mereka atau biarkan si kecil terus berada dalam dunia mereka sendiri tanpa dibela?

Sesungguhnya, tiada apa yang perlu dimalukan mempunyai anak austisme ini.

Mereka seperti makhluk ALLAH yang lain. Bezanya memiliki kekurangan dari aspek komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku, bukannya kurang upaya.

Di Malaysia, tanda autisme dikatakan sering gagal dikenal pasti pada peringkat awal.

Berbeza dengan Amerika Syarikat dan Singapura yang menyaksikan kanak-kanak autisme berjaya didiagnos ketika berusia tiga hingga empat tahun.

Mereka juga mempunyai banyak pusat atau sekolah khas bagi memberi pendidikan dan terapi untuk kanak-kanak kategori ini.

Pada edisi kali ini, Sihat:Aktif akan membincangkan mengenai perihal autisme yang empat kali ganda lebih kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak lelaki.

Ikuti juga kisah personaliti Irin Putri Azmi tentang bagaimana beliau menjaga anak istimewanya berusia 10 tahun. Begitu juga pengorbanan Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani sentiasa berada di sisi adiknya yang kini berusia 26 tahun.

Artikel Berkaitan:

KES 1

Anak sulung Irin peka, suka bunyi-bunyian

 Irin bersama anaknya, Raees (depan) dan anak bongsu, Razeen Ayman, 5.
Irin bersama anaknya, Raees (depan) dan anak bongsu, Razeen Ayman, 5.

SEAWAL usia dua tahun setengah, Raees Aryan Ezmir atau Raees belum boleh bercakap sebagaimana kanak-kanak lain seusianya. Kehendaknya juga sukar difahami.

Ini menyebabkan ibunya, Irin Putri Azmi mengambil keputusan membawa Raees bertemu dengan pakar kanak-kanak.

"Doktor beritahu yang anak saya perlukan lebih banyak interaksi, mungkin sebab masa itu hanya dialah seorang anak dan cucu dalam keluarga. Jadi, pada usianya tiga tahun, saya hantar Raees ke taska supaya dia boleh berkawan," kongsi produser yang juga personaliti televisyen popular itu.

Bagaimanapun, menurut Irin, meskipun ke taska, Raees masih tidak berkomunikasi seperti kanak-kanak lain.

"Masa itu ada yang cakap biasalah, budak lambat cakap. Namun, bila nampak dah lain, tak adalah kita biarkan. Kami bawa Raees berjumpa pakar dan pergi ke program intervensi anak autisme.

"Pada awal tumbesarannya, Raess juga selalu nampak tak keruan, dia seperti mencari sesuatu terutama bunyi. Ada masanya saya mengaku yang sukar nak kawal dia," kata Irin yang turut menyediakan kelas terapi khas untuk zuriat tersayang itu.

Dari semasa ke semasa, personaliti itu bersyukur, Raess kini mampu berkomunikasi serba sedikit, selain tahu meminta apabila mengkehendaki sesuatu.

Raees yang didiagnos autistik peringkat rendah ke sederhana juga disifatkan semakin lebih mudah diuruskan.

Menceritakan kelebihan anak sulung daripada dua beradik itu, personaliti itu berkata, anaknya sensitif kepada bunyian audio seperti muzik. "Kadang-kadang kita cakap dengan dia, dia tak respons tetapi bila dengar lagu, Raees boleh ikut. Dia suka main piano dan belajar sendiri. Saya lihat, minatnya lebih pada bunyi-bunyian," katanya.

Kepada Sihat:Aktif Irin berkata, menjadi ibu kepada anak istimewa telah mengajarnya erti kesabaran.

"Tak dinafikan adakalanya saya jadi ‘singa’ di rumah, seperti juga ibu-ibu lain. Namun, jadi 'singa' tak lama sebab Raees seorang anak yang sangat penyayang dan manja. Saya selalu dapat peluk cium daripada dia, terutama bila pulang dari kerja," katanya dengan nada terharu.

KES 2

Tak mahu berenggang dengan adik autisme walau sudah berkahwin

PENGALAMAN Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani, 28, sebagai kakak kepada kepada adik kesayangannya, Megat Mukhreez yang juga seorang autistik tidak kurang hebat.

Menurut wanita ini, perilaku Megat Mukhreez pada peringkat awal memang sukar dikawal.

"Agak susah, sebab kita tak tahu apa yang dia nak cakap. Dulu dia dengan nakal dan bukan jenis duduk diam. Selalu juga dia mengamuk, baling barang, sampai tumbuk, gigit dan cederakan kita, hilang dari rumah dan macam-macam lagi," imbau wanita tabah ini.

Puteri Farhana berkata, selepas meluahkan keadaan adiknya dengan seorang pakar psikiatri, barulah keluarganya tahu yang adiknya sudah pada peringkat perlukan ubat untuk menenangkan dirinya.

"Memang tidak mudah tetapi hal itu bukan penghalang untuk kami melakukan aktiviti seperti biasa, tidaklah hanya terkurung dalam rumah.

"Mungkin ada orang tak mahu bawa keluar mereka dari rumah, segan, takut mengamuk. Namun, kami tak peduli, kami tetap bawanya pergi jalan, kenduri kahwin dan sebagainya," katanya yang amat rapat dengan Mukhreez yang kini sudah berusia 26 tahun.

Sampai bila Puteri Farhana akan menjaga adiknya? Jawapannya cukup menyentuh perasaan.

"Jika berkahwin kelak, saya tetap ingin menjaganya. Saya harap bakal suami dapat menerima adik saya kerana saya tidak pernah berenggang dengan saya sejak kecil," katanya dengan nada sayu.

PUTERI Farhana bersama Mukhreez (tengah) dan bapa mereka, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin.
PUTERI Farhana bersama Mukhreez (tengah) dan bapa mereka, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin.

Tiada kaedah elak autisme

SEBOLEH-BOLEHNYA setiap manusia mahu mahukan kesempurnaan dalam kehidupan yang fana ini.

amun, sejak di luh mahfuz, qada dan qadar kita sudah tertulis. Sebagai insan yang bertakwa, kita wajib reda dengan segala ketentuan-Nya.

Hal ini termasuk sekiranya kita disuratkan memiliki anak autisme. Ia sememangnya menguji tahap keimanan kita.

Kita lihat, tidak mudah individu-individu ternama seperti komposer yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Iman Wan Tuck Meng mengendalikan anak autismenya, Adam Wan Mun Yu, 17.

Iman yang sering memaparkan keletah dan amarah Adam setiap kali meltdown melalui laman Instagramnya memang menarik perhatian ramai.

Ada yang memuji peranan lelaki itu dan tidak kurang juga yang mencela dengan kata-kata nista.

Meltdown merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan anak autisme yang tidak dapat mengawal dirinya.

Begitu juga dengan realiti kehidupan pelakon tanah air, Zarina Zainuddin yang berdepan dugaan besar dalam membesarkan dua anak kembarnya, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 23.

Zarina yang tidak pernah malu mengaku mempunyai anak autisme disifatkan ramai pihak seorang ibu yang toleran kerana sifat sabar dan pendekatan bijaknya menangani anaknya yang tiba-tiba hilang mood.

Kehidupan penyanyi dan bekas ahli KRU, Edry Abdul Halim turut berubah 360 darjah apabila dikurniakan seorang anak austime, Emery, 12.

Pengorbanan Edry dan isterinya, Milia Mohamed bukan calang-calang. Mereka berpindah ke Manchester, United Kingdom demi memberi pendidikan terbaik kepada Emery.

Itu hanya sebahagian paparan cerita ibu bapa kepada anak istimewa itu.

Namun, sekiranya meneliti Laporan Kesihatan Mental Kanak-Kanak Remaja Negara Malaysia (2014), 2 juta kanak-kanak berusia lima hingga 18 tahun di negara ini sebenarnya berdepan dengan masalah kesihatan mental.

Ia merangkumi kecacatan perkembangan, gangguan emosi dan tingkah laku.

Data kajian oleh Kongres Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja dan Profesion Bersekutu Asia 2015 pula mendedahkan, 100,000 kanak-kanak memerlukan rawatan klinikal daripada pakar.

Di Malaysia, 47,000 kanak-kanak disahkan menghidapi gangguan autisme.

Berdasarkan angka itu, ramai merumuskan anak-anak autisme semakin ramai pada zaman milenial ini? Sejauh mana kebenaran teori ini?

Tiada ubat

Menjawab pertanyaan itu, Perunding Pediatrik, Klinik Pakar Signature, Dr Tan Gek Ling berkata, autisme bukan sejenis penyakit seperti yang dimomokkan oleh ramai orang.

"Autisme tidak dikategorikan sebagai penyakit tetapi ia merupakan salah satu kecelaruan (disorder) perkembangan neurologi yang menyebabkan perkembangan fungsi otak yang berlainan.

"Ketidaksamaan fungsi otak melibatkan masalah integrasi deria atau rangsangan dari segi mengesan dan memproses informasi. Kadangkala mereka akan bertingkah laku keterlaluan atau kurang memberi respons terhadap persekitaran," jelasnya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Gek Ling memberitahu, tanda-tanda autisme berbeza tahap pada individu yang berlainan.

Berbalik kepada persoalan kononnya bilangan anak-anak autisme bercambah pada zaman moden ini, pakar tersebut memberitahu, beliau sendiri masih tidak jelas sama ada prevalens golongan ini semakin meningkat atau sebaliknya.

Kepada soalan adakah wujud peluang untuk anak-anak autisme sembuh sekiranya simptom dapat dikesan pada peringkat awal, berikut ialah jawapan Dr Gek Ling.

"Seperti yang diperkatakan tadi, autisme adalah kecelaruan sepanjang hayat.

Justeru, secara faktanya, belum ada lagi ubat yang dapat dihasilkan untuk menyembuhkan autisme.

"Namun, ibu bapa atau penjaga boleh mengoptimumkan kemahiran melalui kaedah intervensi seperti terapi cara kerja, terapi pertuturan atau terapi tingkah Early Interventional Programme," katanya sambil menambah kanak-kanak yang menerima rawatan pada usia lebih muda lazimnya menunjukkan progres perubahan yang lebih bagus.

Boleh elak?

Dr Gek Ling
Dr Gek Ling

Ujar Dr Gek Ling, beliau sering diajukan pertanyaan adakah autisme ini boleh dielakkan sebelum atau semasa ibu mengandung.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Kanak-kanak Spark itu berkata, tiada kajian menyeluruh mengenainya.

Namun ujar beliau, sindrom autisme mempunyai perkaitan dengan masalah genetik, epilepsi, usia ibu bapa yang meningkat dan sebagainya. Bagaimana pula dengan gajet yang disangka punca anak menjadi autistik?

"Gajet bukan faktor utama penyebab autisme. Bagaimanapun pemberian gajet untuk anak yang sudah mempunyai autistik menyebabkan pendedahan sosial mereka dengan orang lain lebih terhalang.

"Sedangkan dalam proses pemulihan, kita mahu anak autisme lebih banyak berinteraksi. Jika ibu bapa sentiasa berikan anak gajet, ini bermaksud komunikasi hanya bersifat satu hala

"Rehabilitasi awal adalah sangat penting untuk anak-anak autisme ini," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pakar Psikologi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, Grace Liew pula berkata, autisme adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks.

Grace Liew
Grace Liew

"Gangguan itu ialah merujuk kepada interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku seseorang.

"Autisme ini dibahagikan kepada tiga tahap iaitu tahap kefungsian rendah, sederhana dan tinggi (yang masih tidak dapat dipastikan penyebabnya)," katanya kepada Sihat:Aktif.

Pun demikian, Grace mengatakan, pakar perubatan mengatakan bahawa salah satu penyebabnya ialah faktor genetik. Selain itu, faktor pemakanan dan persekitaran juga dikaitkan dengan autisme.

Namun, masih tiada kajian yang dapat mengesahkan punca sebenar autisme," katanya yang mempunyai 12 tahun pengalaman dalam bidang pengesanan, pentaksiran dan diagnosis autisme.

Seperti kata Dr Gek Ling, setakat ini, tiada ubat-ubatan khusus untuk autisme.

Intervensi awal adalah cara yang terbaik untuk merawatnya, jelas Grace.

Kepada satu soalan, pakar tersebut memberitahu, kanak-kanak autisme boleh hidup berdikari seperti rakan-rakan sebayanya yang lain.

Pun demikian, dalam sesetengah kes, terdapat kanak-kanak yang terpaksa bergantung kepada penjaga disebabkan keadaan fizikal badan yang tidak sihat dan sukar dilatih.

ANEKDOT

Laman web TheAsianParent menyenaraikan beberapa simptom dan tanda-tanda autisme.

Antaranya ialah:

1. Perkembangan motor yang lambat Adakah perkembangan motor anak anda sedikit lambat? Contohnya seperti berguling, merangkak, berjalan atau bercakap?

Antara perkembangan motor yang lambat seperti:

Bayi umur 6 bulan: Tidak boleh senyum atau menunjukkan reaksi riang

Bayi umur 9 bulan: Tidak mengeluarkan bunyi dan ekpresi muka

Bayi umur 12 bulan: Lambat bercakap dan tidak mahu melambai

2. Mahu perhatian daripada penjaga secara berlebihan Anak akan seakan-akan tidak selesa dengan orang lain. Mereka hanya mahu memeluk dan mendapatkan perhatian anda. Ini bermakna mereka sukar untuk berhubung dengan individu lain. Malah, anak juga mungkin tidak sedar dan tidak berminat dengan persekitarannya. Biasanya, bayi kecil mungkin tidak mahu dengan orang. Namun jika anak yang sudah semakin besar pun menunjukkan sikap yang sama, penjaga kena berhati-hati. Anak autistik juga lazimnya sukar berkawan dan bermain.

3. Kurang pergerakan Anak autisme akan kurang menunjukkan pergerakan seperti menunjuk. Mereka seakan-akan keras seperti 'robot'. Mereka juga tidak akan melambai, menunjukkan sesuatu atau cuba mencapai benda yang diingini mereka. Biasanya, perkembangan ini akan dicapai oleh bayi ketika mereka berusia sembilan hingga 10 bulan.

4. Perbuatan berulang Anak sering melakukan perbuatan berulang seperti mengibas-ngibas tangannya atau melakukan pergerakan abnormal seperti memusing tangan. Anak autistik amat gemar dengan perbuatan atau aktiviti berulang seperti menepuk tangan, mencampak barang, memusingkan barang, memetik jari, memandang siling dan sebagainya. Malah mereka juga mungkin akan meniru bunyi dan perkataan yang didengar mereka berulang-ulang kali.

5. Tiada baby talk Baby talk atau babbling adalah perbuatan bercakap yang biasa dilakukan oleh bayi apabila mereka mencapai umur 12 bulan. Walaupun ibu bapa tidak akan faham apa yang anak 'bebelkan', anak autistik lebih cenderung untuk tidak melakukannya. Malah, jika mereka sudah semakin besar, mereka mungkin akan menghadapi beberapa kesukaran untuk bercakap seperti tidak mampu menjawab soalan, sering mengulangi perkataan sama, tidak memahami arahan dan sukar menyatakan kehendak mereka.

6. Tidak respons jika dipanggil Walaupun bayi sudah masuk usia enam hingga 12 bulan, namun, mereka masih tidak memberi respons jika namanya dipanggil? Itu mungkin satu lagi tanda autisme. Ini kerana kebiasaannya, anak autistik memang sukar untuk membina hubungan sosial dengan orang lain. Atas faktot itu juga, mereka sukar untuk disentuh, tidak mahu bermain permainan 'olok-olok' dan suka meniru orang lain. Ciri-ciri autisme yang paling utama adalah rasa untuk menyendiri. Mereka seakan tidak mendengar apa yang orang lain cakap pada mereka. Malah, mereka tidak mahu terlibat dengan aktiviti yang disertai ramai orang!

7. Tiada eye contact Tiada eye contact adalah salah satu tanda awal autisme yang anda boleh kenal pasti. Jika anda mahukan kepastian, ketika tengah beri bayi makan, cuba senyum dan pandang matanya. Lihat bagaimana respons si kecil itu.

8. Kurang senyum Pada usia enam bulan ke atas, bayi biasanya akan mula memberikan senyuman gusi pertama pada ibu bapa dan orang di sekelilingnya. Namun, jika anak anda tidak mahu senyum atau jarang senyum, hati-hati. Lihat dengan lebih peka tentang perkembangannya. Malah, perhati juga jika anak sukar untuk menunjukkan ekpresi muka yang sepatutnya. Ini merupakan antara kesukaran yang sentiasa dihadapi anak autistik.

9. Anak tidak fleksibel Ciri autisme ringan yang paling biasa boleh dilihat adalah anak tidak mampu menerima perubahan. Contohnya, mereka ada jadual yang ketat untuk diikut. Kalau anda melakukan sedikit perubahan, mereka mungkin mampu mengamuk. Malah, anak autistik juga sukar untuk melepaskan barang kesayangannya. Mereka mempunyai postur badan yang kurang normal dan lebih bersikap cuai. Mereka juga cenderung untuk menyusun barangan kesayangan mereka berulang-ulang kali.

Jika anda dapat mengesan beberapa tanda di antara 9 tanda-tanda ini, segera dapatkan pandangan pakar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!