Tempoh kempen 14 hari sesuai untuk Sarawak

 Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Tempoh berkempen selama 14 hari bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah sesuai dan mencukupi bagi Negeri Sarawak, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, tempoh itu akan memberi peluang kepada calon untuk bertemu pengundi terutamanya yang berada di kawasan pedalaman negeri ini.

Selain itu, tempoh itu juga akan memberi masa berpatutan buat pengundi pulang ke kawasan mereka.

"Buat GPS, tarikh ditetapkan adalah sesuai dan mencukupi kerana dari sudut luar bandar bagi Negeri Sarawak yang kawasannya luas dan perhubungan kita juga agak sukar.

"Tempoh itu juga akan memberi ruang buat pengundi di luar kawasan untuk pulang dan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan kepada media di sini hari ini.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November sehingga pukul 11.59 malam pada 18 Nov. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!