Rakyat tidak perlu khuatir dengan Bajet 2023: Tengku Zafrul
KUALA SELANGOR - Rakyat tidak perlu khuatir dengan Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana kerajaan mempunyai peruntukan untuk melaksanakannya, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, setiap belanjawan yang dirancang oleh kerajaan adalah berdasarkan unjuran hasil tahunan yang akan diterima negara pada tahun tersebut.
"Itu adalah unjuran hasil. Seandainya kita tiada duit, market akan crash (menjunam jatuh), ringgit akan jatuh tengoklah apa yang berlaku kepada United Kingdom.
"Sekiranya rakyat tiada keyakinan terhadap Bajet 2023 terutamanya pasaran kewangan dan dalam kalangan pelabur sudah pasti kita sudah tahu...tapi setakat ini tiada (tiada keyakinan terhadap Bajet 2023),” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia negeri Selangor di Puncak Alam di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Rakyat tidak perlu gundah-gulana...seperti biasa, bajet yang disediakan pada tahun 2020,2021, 2022, 2023 memang ada peruntukan untuk bajet pada tahun tersebut untuk dilaksanakan,” katanya.
Ditanya adakah Bajet 2023 yang dibentangkan beliau pada 7 Oktober lepas akan mempunyai perubahan jika dibentangkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti beliau berkata: "Semuanya bergantung kepada keputusan Kabinet kelak.”
Terdahulu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berharap para usahawan akan merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan apabila tiba waktu Bajet 2023 dilaksanakan.
"Bajet ini sememangnya ada berita baik untuk usahawan. Bagi merancakkan dan membina daya tahan sektor perniagaan, kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion.
Beliau berkata, sejumlah RM1.7 bilion daripada jumlah tersebut tersedia khas sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.
Kerajaan juga bercadang memberikan geran ‘one-off’ sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar dengan kira-kira satu juta perniagaan bakal menerima manfaat ini dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion, katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berharap pelaksanaan Bajet 2023 akan ada kesinambungannya dan dapat diluluskan.
"Kita semua harap bajet yang dibentangkan akan diluluskan dan dilaksanakan pada tahun depan, kalau boleh dilaksanakan...Alhamdulillah. Segenap lapisan usahawan akan mendapat faedah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!