Pas ulangi saranan tubuh RCI siasat TH

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen bagi menyiasat dakwaan dan salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini bagi membolehkan setiap laporan dan syor yang dikemukakan Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dapat diteliti demi memperkasakan kedudukan kewangan seterusnya meningkatkan kecekapan operasi TH.

"Keyakinan terhadap TH perlu dipulihkan dengan segera, melalui sokongan dan dukungan semua pihak terhadap peranan teknokrat yang dilantik dalam kalangan Anggota Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi untuk melaksanakan tugas secara profesional, tanpa campur tangan politik yang berlebihan dalam membuat sebarang keputusan.

"Penumpuan perlu diberikan untuk melaksanakan segala langkah pemulihan yang digariskan bagi meningkatkan integriti dan mengembalikan keyakinan terhadap TH, seterusnya mengangkat kedudukan TH dan ekonomi umat Islam ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi, TH merupakan institusi ekonomi terpenting kepada umat Islam yang perlu diurus secara telus, cekap dan profesional.

"Peranan yang terpikul di bahu TH amatlah besar dalam menjaga kebajikan jemaah haji bagi melaksanakan Rukun Islam kelima dengan sempurna, di samping berperanan sebagai wadah penyimpanan dan pelaburan yang dapat meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam keseluruhannya," katanya.

Pada 5 April lepas, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 yang melibatkan agihan berjumlah RM913 juta kepada 9.3 juta pendepositnya. Kadar hibah dilaporkan menjadi agihan terendah dalam sejarah negara. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!