Jangan sebar maklumat tidak sahih, sentuh unsur 3R: SKMM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna media sosial diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta membuat kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur ‘3R’ iaitu raja (royalty) agama (religion) dan kaum (race) dengan tujuan untuk menyakiti pihak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) berkata, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sabit kesalahan katanya, individu terlibat boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Susulan pengumuman oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh Pilihan Raya Umum negara yang ke-15 (PRU-15), SKMM ingin mengingatkan semua pihak, terutamanya pengguna media sosial, agar sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur serta tatasusila ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

Pihak SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

“Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai boleh melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, SPR menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian PRU15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!