PRU15 bukti BN bukan gila kuasa

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembubaran Parlimen dan perlaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah bukti bahawa BN tidak gila kuasa.

Menurutnya, ini kerana selepas BN menguasai kerajaan, gabungan itu memutuskan untuk mengembalikan hak memilih kepada rakyat.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menentukan tarikh keramat 19 November sebagai hari penentuan untuk negara. Ini adalah masa untuk mandat dikembalikan kepada rakyat semula.

"Pelik apabila masih ada tuduhan konon kita gila kuasa.

"Kalau kita gila kuasa, kita akan berebut jawatan PM sepertimana PH dahulu. Kalau kita gila kuasa, pasti kita isytihar darurat dan gantung Parlimen.

"Tapi kita kembalikan mandat ini kepada rakyat. Atas sebab kita sentiasa yakin bahawa rakyat kita adalah bijaksana dan boleh menilai kerajaan mana adalah kaca dan kerajaan mana pula adalah permata," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Jelas beliau, BN sentiasa konsisten dalam isu tersebut sejak berlakunya krisis kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari 2020.

Katanya, disebabkan tiada Perdana Menteri ketika itu, tiada pihak yang berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sekali gus tidak memenuhi Perkara 55 Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Inilah salah satu isu kenapa Parlimen tidak boleh dibubarkan pada ketika itu selain isu Covid-19. Ia menafikan tuduhan bahawa BN gilakan kuasa sehingga menggunakan pintu belakang untuk menjadi kerajaan

"Begitu juga selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, kita masih lagi meminta agar mandat ini dikembalikan. Namun rakusnya kuasa sesetengah orang sehingga menyebabkan darurat diisytiharkan," katanya.

Beliau mendakwa, darurat ketika itu telah menjadi permulaan kepada kerajaan gagal.

"Apabila kuasa penuh yang diperoleh telah gagal diguna bagi menurunkan kesan wabak Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak sehingga rakyat terpaksa mengibar bendera putih, dasar-dasar yang lebih menguntungkan kapitalis dan kesilapan pentadbiran yang menggadaikan pendidikan anak-anak adalah bencana besar yang terpaksa rakyat kita hadapi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!