Kedah sudah ada calon pengganti Suraya

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, akan digantikan dengan exco baharu dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, satu nama daripada kalangan ADUN akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk diperkenankan sebelum dibuat lantikan.

Menurutnya, selagi calon tersebut belum mendapat perkenan Sultan Sallehuddin, ia tidak boleh diumumkan lagi.

"Kita ada ramai calon daripada kalangan wakil rakyat yang belum pernah menjadi exco. Semua ADUN yang ada berkelayakan namun hanya satu nama akan dipersembahkan kepada Tuanku," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Pada 13 Oktober, Suraya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Suraya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pendang bagaimanapun tidak menyatakan punca beliau bertindak sedemikian, namun dipercayai mempunyai kaitan dengan ura-ura beliau akan menjadi calon Parlimen pada PRU15.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi tegaskan, calon exco adalah daripada Pas susulan kesemua enam ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah pun menganggotai barisan exco dan seorang daripadanya merupakan Speaker DUN Kedah.

"Parti lain tak ada dah. UMNO lama dah tak duduk dengan saya, dah mereka nak rampas kerajaan hari ini seperti yang disebut oleh Presiden UMNO. Mereka nak rampas negeri, takkan nak bagi UMNO lagi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam pelantikan exco dan ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

"Proses pelantikan bukanlah rumit cuma ada prosedur perlu dipatuhi dan diikuti. Saya perlu hantar surat pemakluman peletakan jawatan Suraya kepada Tuanku dan mohon perkenan untuk calon baharu.

"Saya perlu hantar satu nama untuk mohon perkenan Tuanku bagi menggantikan Suraya, selepas itu barulah dapat tentukan tarikh untuk angkat sumpah. Proses itu sedang berjalan," katanya.

Muhammad Sanusi berharap pelantikan exco baharu dapat diselesaikan sebelum persidangan DUN yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!