Samsudin tak sedarkan diri, meninggal dunia dalam pesawat
SEPANG - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya didapati tidak sedarkan diri di dalam pesawat semasa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu, Sabah sebelum meninggal dunia pada Khamis.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pesawat itu dilaporkan berlepas pada jam 2.21 petang.
Menurutnya, mangsa kemudian didapati tidak sedarkan diri semasa penerbangan sebelum pemeriksaan awal ketika itu mendapati tiada pergerakan nadi padanya.
"Bantuan kecemasan cuba diberikan tetapi mangsa masih tidak sedarkan diri sebelum dimaklumkan kepada juruterbang yang kemudian berpatah balik ke KLIA.
"Selepas sampai ke KLIA, mangsa disahkan telah meninggal dunia pada jam 4.47 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah dijalankan.
Katanya, jenazah telah dihantar ke hospital pada jam 7.05 malam untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 67 tahun pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2009 dan kali terakhir pemeriksaan jantung pada 17 Oktober lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Berita duka itu telah dikongsikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya.
"Semoga ALLAH ampunkan segala dosa Allahyarham Datuk Samsudin Yahya yang baru sahaja pergi menghadap Ilahi. Semoga ALLAH terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisiNya.
"Semoga pemergian Allahyarham menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia.
"Semoga dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya.
Allahyarham adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi dan menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong selama tiga penggal sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!