Didenda RM350,000 miliki minyak diesel tanpa kebenaran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah dan syarikatnya didenda RM350,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki 21,035 liter minyak diesel tanpa kebenaran.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas Tan Chooi Kim dan syarikatnya, Midas Dragon Sdn Bhd yang turut diwakili beliau selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes.

Chooi Kim didenda RM120,000 atau penjara selama 12 bulan manakala syarikatnya didenda RM230,000 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM350,000. Tan membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa memiliki barang berjadual iaitu 21,035 liter minyak diesel tanpa kebenaran yang melanggar Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Bestari Jaya dekat sini pada 1.50 tengah hari 28 Julai lepas.

Chooi Kim didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman maksimum denda RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya denda maksimum RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Midas Dragon Sdn Bhd pula didakwa mengikut Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman maksimum denda RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM5 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alimah Mohd Sanusi manakala OKS diwakili peguam Azfar Asadullah Abdul Sathar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!