GP Malaysia: Ini adalah antara trek kegemaran - Quartararo

Quartararo pada sidang media GP Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang, pada Khamis. -Foto Bernama
Quartararo pada sidang media GP Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang, pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo melaungkan amaran dalam usahanya mempertahankan kejuaraan dunia menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Francesco Bagnaia dari Team Ducati Lenovo, Quartararo berkata, beliau akan mengharungi perlumbaan kali ini dengan cara berbeza dan mengambil sedikit risiko dalam penetapan jentera, selain mengakui tidak berada dalam tekanan bagi membantunya dalam perlumbaan nanti.

Malah, pelumba kelahiran Perancis berusia 23 tahun itu mengakui telah melupakan kekecewaannya selepas gagal menamatkan perlumbaan pada GP Australia, minggu lepas.

“Saya kurang menghayati perlumbaan minggu lepas, tapi kali ini saya berada dalam keadaan yang baik...saya hanya perlu meletakkan diri saya pada keadaan terbaik. Saya akan pastikan MotoGP kali ini dalam mood yang berlainan.

“Pada ketika ini, saya dapat rasakan yang saya tidak rugi apa-apa... Ini adalah antara trek kegemaran dan saya akan berikan yang terbaik terutamanya pada pusingan kelayakan,” katanya pada sidang media praperlumbaan pada Khamis.

Menjelang perlumbaan di Sepang, Quartararo kini mengumpul 219 mata, 14 mata di belakang pendahulu Bagnaia (233 mata) manakala Aleix Espargaro dari Aprilia Racing pula di tempat ketiga dengan 206 mata.

Bagnaia atau lebih dikenali dengan panggilan Pecco kemungkinan dinobatkan sebagai juara dunia pada GP Malaysia jika beliau berjaya mendahului sekurang-kurangnya 25 mata.

“Sudah tentu ada tekanan, pada ketika ini saya gembira tapi perlu selesaikan tugas dan fokus saya adalah itu (tugas),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Espargaro sudah bersiap sedia untuk penampilan GP ke-300 di Sepang.

“Saya gembira dan sangat bangga kerana berlumba dalam kejuaraan MotoGP adalah impian setiap kanak-kanak tapi untuk kekal lama dalam kerjaya ini adalah lebih sukar. Penampilan ke-300 adalah suatu yang sukar dipercayai, mudah-mudahan saya dapat jadikan ia sesuatu untuk diingati di Malaysia,” kata pelumba Sepanyol berusia 33 tahun itu.

Beliau berkata, misinya adalah untuk menghalang Bagnaia daripada terus mendominasi perlumbaan, bagaimanapun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.

“Pastinya sesuatu yang sukar kerana apa dipamerkan terutamanya pada bahagian kedua kejuaraan adalah menakjubkan, tapi saya akan buat yang terbaik...dan sedikit agresif pada hari perlumbaan,” katanya.

GP Malaysia yang kembali ke Litar Sepang selepas dua tahun dibatalkan susulan pandemik Covid-19 akan membuka tirai dengan sesi latihan bebas esok, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu dan hari perlumbaan pada Ahad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!