GP Malaysia: Razlan dedah punca jualan tiket perlahan

Razlan Razali
Razlan Razali
A
A
A

KETIADAAN pelumba Malaysia yang beraksi dalam musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia antara faktor penjualan tiket Grand Prix (GP) Malaysia berlangsung hujung minggu ini perlahan.

Prinsipal WithU Yamaha RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali berkata, strategi tradisi menggunakan pelumba tempatan berlumba atas tiket wildcard kali ini tidak mampu menarik kehadiran peminat walaupun perlumbaan kembali ke Litar Sepang selepas dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

“Sudah tentu faktor kejayaan GP Malaysia adalah kerana pelumba Malaysia (beraksi musim penuh), bukan setakat wildcard. Saya rasa semua tahu apa itu wildcard, peminat mahu melihat pelumba Malaysia bersaing dari pusingan pertama hingga tamat.

“Tapi kalau ikut keadaan ekonomi pun berlainan berbanding 2019, pascapandemik, inflasi dan sebagainya. Tapi saya percaya dengan minat yang tinggi, kalau orang hendak pergi dan minat walaupun (ekonomi) gawat mereka akan cari jalan,” katanya ketika diminta mengulas penjualan tiket GP Malaysia yang dilaporkan perlahan.

Berdasarkan laporan media, hanya lebih 50 peratus tiket terjual setakat minggu lepas, secara perbandingan lebih rendah daripada tahun-tahun sebelum wabak itu, dengan rekod tertinggi pada 2019 lebih 170,000 peminat hadir untuk perlumbaan hujung minggu.

Razlan pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2009 hingga 2020.

Pada GP Malaysia yang dijadualkan pada 21 hingga 23 Oktober ini, empat pelumba negara diberikan tiket wildcard iaitu Kasma Daniel Kasmayudin, Khairul Idham Pawi dan Azroy Hakeem Anuar akan beraksi dalam kelas Moto2 manakala Syarifuddin Azman atau lebih dikenali Damok beraksi dalam Moto3. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!