[VIDEO] Calon mampu bangunkan ekonomi negara antara kriteria penting
SHAH ALAM – Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Soo Wincci memberikan beberapa kriteria pemilihan calon baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) yang akan diadakan pada 19 November depan.
Menurutnya, antara perkara penting atau diutamakan adalah calon yang boleh membangunkan ekonomi negara ini.
“Yang paling penting siapa yang boleh membangunkan ekonomi kita. Selepas Covid-19 dan kini inflasi, semua orang terkesan.
“(Selain itu) seseorang pemimpin itu bukan sahaja kena berintegriti tinggi tetapi memberikan impak dan menunjukkan hasil (kerja yang baik) kepada negara. Bukan hanya cakap sahaja. Sudah banyak kali kita nampak janji yang tidak dikotakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live bertajuk ‘Gendang Sudah Dipalu, Apa Rakyat Mahu?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panel dalam program ini ialah pensyarah USM, Profesor Dr Sivamurugan Pandian manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.
Wincci yang juga merupakan seorang selebriti menambah, calon-calon dikemukakan oleh parti-parti politik hendaklah berkaliber dan mempunyai rekod prestasi baik.
“Bukan sahaja cakap tapi nanti tak buat. Selepas undi, selepas dapat jawatan dan tak buat itu satu masalah. Rakyat kita kena bersatu dan bijak dalam mengundi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!