Didenda gara-gara beri anjing liar makan biskut
BRISBANE - Seorang pelancong muda didenda A$2,300 (RM6,850) baru-baru ini kerana memberi makan biskut kepada seekor anjing liar dikenali sebagai dingo di Pulau K'gari.
Lelaki Australia berusia 23 tahun itu sedang menunggu dalam barisan untuk menaiki feri di pulau itu yang turut dikenali sebagai Pulau Fraser di utara Brisbane.
Namun, perbuatannya itu telah dirakamkan oleh orang awam.
Insiden itu berlaku pada April lalu namun susulan siasatan Jabatan Alam Sekitar dan Sains (DES) Queensland, lelaki itu kemudian didenda RM6,850 dalam minggu ini.
Pengurus pematuhan DES, Mike Devery dalam satu kenyataan berkata, seorang orang awam memberitahu renjer bahawa lelaki itu berada di hadapan barisan kenderaan semasa dia menunggu feri di Hook Point pada April lalu.
Devery berkata, lelaki itu kemudian mengaku memberi makan kepada anjing liar itu.
Memberi makan kepada anjing itu adalah dilarang kerana ia boleh menyebabkan haiwan itu mendekati orang ramai untuk mendapatkan makanan sekali gus boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan bahaya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!