Jangan menyesal tersalah pangkah
TARIKH pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditetapkan pada 19 November ini, hari penamaan calon pada 5 November dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Itulah tarikh-tarikh penting yang ditunggu pada Khamis, diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
PRU15 barangkali adalah pilihan raya paling sukar dari segi membuat pilihan. Ada tiga kumpulan politik yang utama - Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Ketiga-tiga kumpulan politik tersebut mempunyai sejarah memimpin Malaysia. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Mengundi adalah hak dan kewajipan sebagai rakyat Malaysia. Tidak kiralah parti mana yang akan dipangkah, keutamaan yang harus diberikan perhatian adalah untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara demi pemulihan dan kemajuan ekonomi.
Apatah lagi, Bank Dunia telah memberikan amaran bahawa dunia bakal berdepan kemelesetan ekonomi tahun depan. Jadi, sudah tentu kita tidak mahu kecelaruan politik merumitkan lagi keadaan tersebut.
Maka, bermulalah gendang PRU15. Setiap parti menyusun jentera, merangka strategi, manifesto dan memuktamadkan calon.
Siapakah yang bakal mewarnai PRU15, muka baharu atau muka lama yang didakwa sangat berpengalaman walaupun ada sejarah 'silam'?
Kita mempunyai kira-kira 1.14 pengundi di bawah umur 21 tahun. Sebanyak 21.1 juta pemilih berdaftar dengan 1.4 juta daripadanya adalah pengundi baharu.
Berdasarkan jumlah itu, siapakah pilihan orang muda? Jangan pandang enteng perkara tersebut. Orang muda pasti mahukan pembaharuan.
Jadi adalah lebih baik ketengahkan wajah baharu yang lebih berpotensi kerana negara belum ketandusan pemimpin muda berwibawa. Apatah lagi, mereka inilah yang akan mewarisi kepimpinan pada masa hadapan.
Ramai orang muda dalam kalangan profesional, ahli agama, ahli perniagaan, korporat dan pelbagai latar belakang yang boleh diangkat sebagai calon.
Buatlah pilihan yang bijak. Pastinya ketika ini Yang Berhormat sudah mula rajin masuk kampung dan 'bekerja'. Sosok yang sebelum ini santai-santai di kerusi empuk di dalam bilik berhawa dingin makin kerap turun padang bersihkan longkang, menebas lalang dan melawat orang sakit, malah menjadi peramah dan pemurah.
Kepada pengundi, jangan ‘gelap mata’. Ini masa depan anda, masa depan kita bersama dan negara tercinta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!