[VIDEO] Anwar diuji 11 tahun, paling layak calon PM
IPOH - Seorang pemimpin berpengalaman dan masih bertahan meskipun teruji pelbagai cabaran selama 11 tahun, menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim individu paling layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketokohan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu juga amat diperlukan bagi memulihkan negara daripada krisis ekonomi yang melanda negara sekarang.
Menurutnya, perjuangan PH ketika ini bukan meletak satu-satu tokoh untuk memegang jawatan Perdana Menteri semata-mata, namun jawatan itu datang dengan amanah cukup besar dan berat dalam suasana sangat sukar.
"Ekonomi negara yang merudum ketika ini mesti diselamatkan melalui sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu memperbaiki ekonomi negara.
"Kita bukan (sekadar) angkat satu batang tubuh jadi calon, hakikat sebenar kita nak letakkan tokoh ini yang telah teruji.
"Selama 11 tahun diaibkan dan dihina, tetapi tetap bertahan atas dokongan dan perjuangan setia rakan-rakan.
"Emas yang bermutu tinggi ialah emas dicanai dibakar berulang kali jadi emas paling berharga," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.
Ini merupakan kali kedua Anwar diangkat sebagai calon Perdana Menteri mewakili pembangkang selepas kali pertama pada 2013.
Pada PRU14, Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih mengetuai PH sekali gus memegang jawatan Perdana Menteri apabila gabungan itu memperoleh majoriti.
Saifuddin berkata, pemilihan Anwar itu telah dipersetujui Majlis Presiden PH melalui beberapa siri temu rapat antaranya di Port Dickson dan Seremban serta sesi mesyuarat sebelum ini.
"Dalam mana-mana pertempuran, kita akan mengangkat seorang jeneral perang dan dalam kontek PRU, kita mesti menamakan seorang Perdana Menteri.
"Jadi memasuki PRU15 ini, PH menawarkan kepada rakyat satu nama jika mandat diberikan kepada kita, calon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, rundingan kerusi Parlimen antara parti komponen PH telah berjaya diselesaikan dan diuruskan.
Katanya, tumpuan kini hanya rundingan kerusi antara PH dengan parti-parti yang membentuk pakatan pilihan raya (electoral pact).
"Sesuai dengan keputusan Majlis Presiden PH, rundingan berikutnya adalah dengan parti-parti non-PH. Ini aman diselesaikan dalam masa terdekat, dua ke tiga hari ini," katanya.
Dua parti yang bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya dengan PH adalah Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!