Thailand berdebar tunggu keputusan PRU

- Foto Reuters
- Foto Reuters
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Dua minggu selepas rakyat Thailand keluar mengundi, urusan harian nampaknya berjalan seperti biasa namun debaran orang ramai yang menantikan keputusan rasmi pada 9 Mei, 45 hari selepas pengundian, kian terasa apatah lagi perkembangan terkini turut menyaksikan bahawa undi terpaksa dikira semula dan bintang politik yang semakin menyinar berdepan pertuduhan hasutan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand pada 4 April mengumumkan bahawa beberapa pilihan raya kecil perlu diadakan dan undi terpaksa dikira semula selepas badan itu mendapati jumlah undi yang dikira tidak sepadan dengan jumlah yang keluar mengundi manakala calon yang menang mungkin hilang kelayakan susulan aduan yang dibuat terhadap mereka.

Pada Sabtu, pemimpin Parti Future Forward yang mendapat sokongan generasi muda, Thanathorn Juangroongruangkit, 40, telah didakwa atas pertuduhan hasutan.

Jutawan alat ganti kenderaan itu berdepan tiga pertuduhan iaitu melanggar Perkara 116 Kanun Keseksaan Thailand (menyamai hasutan), Perkara 189 kerana membantu pihak lain yang melakukan jenayah serius dan Perkara 215 kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sembilan tahun dan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen.

Justeru itu, keresahan menantikan keputusan pilihan raya umum pertama yang berlangsung selepas tentera merampas kuasa pada 2014 dan perlembagaan baharu digubal pada 2017 amat dirasai.

Bukan hanya rakyat negara itu yang berdebar, dunia ketika ini turut memusatkan perhatian kepada Thailand.

Sama ada akan berlaku pemulihan demokrasi penuh dan pemerintahan awam di negara itu, tiada siapa yang dapat meneka.

Artikel Berkaitan:

Lebih 38.2 juta pengundi menggunakan hak mereka pada 24 Mac lepas untuk memilih 500 anggota Dewan Perwakilan – 350 calon berdasarkan kawasan manakala 150 lagi calon senarai parti, yang menyaksikan undi popular akan mempunyai kesan lebih besar.

Parti Palang Pracharath, yang menyokong Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha, meraih sejumlah 8.4 juta undi manakala Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra mengekor rapat dengan 7.9 juta undi diikuti Parti Future Forward (6.2 juta undi), Parti Demokrat (3.9 juta) dan Parti Bhumjaithai (3.7 juta).

Pheu Thai memenangi jumlah kerusi berdasarkan kawasan paling banyak iaitu 137 diikuti Palang Pracharath 97 kerusi, Bhumjaithai (39), Demokrat (33) dan Future Forward (30).

Bagaimanapun, SPR Thailand perlu membersihkan penyelewengan dan aduan yang difailkan sebelum 9 Mei kerana kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan keputusan akhir pilihan raya. Sehingga itu, pembentukan kerajaan seterusnya dan pemilihan perdana menteri masih tidak jelas.

Berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia, yang mengambil masa kira-kira sebulan, Pilihan Raya Umum Thailand bermula dengan SPR mengumumkan tarikh pengundian (23 Januari) diikuti pendaftaran pengundi awal serta pengundi luar negeri (28 Januari hingga 19 Februari) dan pendaftaran calon parti politik bagi pemilihan berdasarkan kawasan serta menamakan calon perdana menteri mereka (4 hingga 8 Februari), pengumuman SPR mengenai calon yang layak bagi kawasan dan senarai parti (15 Februari).

Proses pengundian bermula dengan undi luar negeri (4 hingga 16 Mac), pengundian awal bagi rakyat Thailand yang berada di luar kawasan (17 Mac) dan hari pengundian (24 Mac).

Bagaimanapun, SPR hanya mengeluarkan keputusan pilihan raya secara berperingkat yang menyaksikan keputusan tidak rasmi 93 peratus jumlah undi yang dikira diumumkan pada malam selepas hari pengundian.

Bagi membentuk kerajaan Thailand seterusnya, kem politik memerlukan jumlah minimum 251 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Parti Palang Pracharath mendakwa berhak membentuk kerajaan berdasarkan undi popular yang diraihnya berjumlah 8.4 juta namun Barisan Demokratik yang dipimpin Pheu Thai bersama sekutunya turut mendakwa memenangi sekurang-kurangnya 255 kerusi di Dewan Perwakilan untuk membentuk kerajaan.

Kekeliruan berlaku apabila formula untuk mengira pengagihan kerusi bagi calon senarai parti masih kabur dan SPR belum mengumumkannya.

Berdasarkan pencalonan sebelum pilihan raya, terdapat 68 calon untuk jawatan perdana menteri pada pemilihan kali ini termasuk penyandang Perdana Menteri yang juga ketua Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman Prayuth (Parti Palang Pracharat), Thanathorn, Sudarat Keyuraphan (Pheu Thai) dan Anutin Charnvirakul (Bhumjaithai).

Sejumlah 250 anggota Senat yang dilantik akan menyertai 500 anggota parlimen untuk memilih perdana menteri berikutnya.

Oleh itu, sesebuah parti perlu mendapatkan sokongan 376 daripada sejumlah 750 anggota Dewan Perwakilan bagi mengisi jawatan perdana menteri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!