'Mood' pengantin baharu tambah semangat Kasma Daniel
PELUMBA 'wild card' negara, Kasma Daniel Kasmayuddin berazam menamatkan saingan perlumbaan Moto2 dengan pencapaian menggembirakan pada Grand Prix (GP) Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Beliau yang baru mendirikan rumah tangga pada minggu lepas berkata, perkahwinan membakar semangatnya untuk memberikan tunggangan terbaik sekali gus meraih satu lagi pencapaian 'terindah' dalam hidupnya.
"Bagi saya itu (perkahwinan) satu 'mood happy' (suasana gembira) sebelum berlumba dan saya juga bersemangat apabila (akan) berlumba di depan isteri dan keluarga yang akan datang ke sini, jadi saya tidak sabar untuk berlumba minggu ini," katanya ketika ditemui pemberita di SIC.
Kasma Daniel antara tiga pelumba negara selain Azroy Hakeem Anuar dan Khairul Idham Pawi atau lebih mesra disapa Super Kip yang menerima tiket 'wild card' bersaing dalam Moto2 bersama Pasukan Petronas MIE Racing, namun Super Kip diletakkan sebagai pelumba simpanan.
Pada masa sama, pelumba berusia 22 tahun itu yang turut bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini, menganggap tekanan beraksi di halaman sendiri sebagai satu cabaran yang perlu diatasi menjelang hari perlumbaan.
"Tanpa diletakkan tekanan pun apabila berlumba di Malaysia memang kita akan tertekan, tetapi saya akan ambil semangat dan 'energy' yang baik daripada penonton yang hadir," katanya sambil mengakui tiada sasaran khusus ditetapkan kepadanya.
Sebagai rekod, Kasma Daniel pernah meraih tiket 'wild card' bagi kelas Moto3 pada GP Malaysia 2017, namun pada musim 2020 hasrat beliau yang ketika itu beraksi dalam kelas Moto2 untuk beraksi di Sepang tidak kesampaian selepas saingan perlumbaan hanya diadakan di Eropah berikutan pandemik Covid-19.
Selain tiga pelumba negara yang akan turun bersaing dalam Moto2 hujung minggu ini, Malaysia juga mempunyai seorang lagi wakil, Syarifuddin Azman yang turut mendapat tiket 'wild card' bagi kelas Moto3. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!